Penyanyi rap Namewee mengaku tidak bersalah di mahkamah atas dua pertuduhan memiliki dadah methamphetamine dan ubat Sildenafil di sebuah hotel
KUALA LUMPUR: Penyanyi rap Wee Meng Chee atau Namewee mengaku tidak bersalah atas pertuduhan tambahan memiliki ubat jenis Sildenafil di Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Namewee, 43, didakwa memiliki bahan Sildenafil berat bersih 0.78 gram di sebuah bilik hotel di Jalan Conlay pada 22 Oktober tahun lepas.
Pertuduhan itu dibawah Seksyen 9(1) Akta Racun 1952 yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara lima tahun.
Beliau turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan pindaan memiliki dadah jenis methamphetamine berat bersih 1.57 gram pada tarikh dan lokasi sama.
Pertuduhan dadah itu mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dengan hukuman denda sehingga RM100,000 atau penjara lima tahun.
Majistret Atiqah Mohamed @ Mohamad Saim menetapkan 5 Mac ini untuk sebutan kes.
Jaminan RM2,000 yang ditetapkan sebelum ini dikekalkan oleh mahkamah.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurainizatul Farhana Zainal manakala peguam Joshua Tay mewakili Namewee.
Pada 22 Disember tahun lepas, Namewee telah dibebaskan daripada pertuduhan memberikan dadah ke dalam badannya.
Pihak pendakwaan menarik balik pertuduhan tersebut selepas keputusan patologi didapati negatif.








