Mayat lelaki tidak dikenali dipercayai warga asing ditemui dengan kesan kecederaan di Tangkak, kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
TANGKAK: Mayat seorang lelaki tidak dikenali dipercayai warganegara asing ditemui dengan beberapa kesan kecederaan di tepi jalan di Bukit Serampang di sini.
Timbalan Ketua Polis Daerah Tangkak DSP Jamellulkamal Abdul Halim berkata pihaknya menerima maklumat berkenaan melalui talian MERS 999 pada 8.30 pagi.
Beliau berkata tiada sebarang dokumen perjalanan diri ditemukan bersama mangsa.
Pemeriksaan pada tubuh mangsa mendapati terdapat beberapa kecederaan pada bahagian belakang leher serta kepala.
Mayat kemudiannya dibawa ke Hospital Melaka untuk prosedur bedah siasat.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya dalam satu kenyataan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan.
Mereka boleh berhubung dengan Pegawai Penyiasat Kanan, ASP Sharidhathul Aflaha Ismail menerusi talian 019-269 9573.
Hubungan juga boleh dibuat ke bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Tangkak di talian 06-978 5222.








