Politeknik Merlimau Melaka berada di kedudukan ke-199 dunia dalam UI GreenMetric 2025, sekali gus muncul sebagai institusi TVET paling lestari di Malaysia.
JASIN: Politeknik Merlimau Melaka (PMM) mencatat sejarah tersendiri apabila menduduki tangga ke-199 daripada 1,745 universiti dunia dalam Ranking Dunia Universiti UI GreenMetric 2025.
Pengarah PMM Norizam Sekak berkata pencapaian ini mengukuhkan kedudukan PMM sebagai institusi TVET paling lestari di Malaysia. Ia membuktikan keupayaan politeknik bersaing pada peringkat antarabangsa dalam agenda pembangunan mampan.
UI GreenMetric merupakan sistem penarafan global yang menilai prestasi institusi pengajian tinggi berdasarkan aspek kelestarian kampus. Aspek dinilai termasuk infrastruktur, tenaga, pengurusan sisa, air, pengangkutan serta pendidikan dan penyelidikan.
Peningkatan prestasi PMM sejak 2018 didorong oleh pelaksanaan inisiatif SmartGreen PMM yang berpaksikan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG). Faktor utama kejayaan termasuk pelaksanaan Sistem Pengurusan Tenaga kampus dan inisiatif penjimatan tenaga sehingga 20%.
Projek Energy Performance Contract (EPC) juga menyokong penggunaan tenaga secara lebih cekap dan mampan. PMM turut melaksanakan pelbagai projek hijau berimpak tinggi seperti sistem tadahan air hujan dan pembangunan tasik kampus sebagai ekosistem biodiversiti.
Pendekatan pengurusan berasaskan data dan pemantapan pelaporan secara sistematik turut meningkatkan tahap kredibiliti penilaian pada peringkat antarabangsa. Norizam berkata pencapaian ini memberi manfaat langsung kepada pelajar melalui pendedahan kepada pembelajaran berasaskan amalan kelestarian sebenar.
Ia sekali gus meningkatkan kebolehpasaran graduan TVET. Bagi kakitangan pula, pelaksanaan kampus hijau mewujudkan persekitaran kerja yang lebih kondusif serta menyokong pembangunan profesional.
Kepada masyarakat setempat, PMM berperanan sebagai pusat rujukan amalan lestari melalui program libat sama komuniti dan kerjasama strategik. Pencapaian itu membuktikan usaha berterusan PMM dalam memacu agenda kelestarian selaras dengan aspirasi negara dan SDG.
Pihaknya akan terus memperkukuh agenda kelestarian melalui pelaksanaan Blueprint SmartGreen PolyCC 2025–2030. Sasaran PMM adalah untuk menembusi kelompok Top 100 dunia dalam penarafan UI GreenMetric.
PMM kini berada di kedudukan ke-11 daripada 91 institusi pengajian tinggi di Malaysia. Ia juga mengekalkan kedudukan nombor satu dalam kalangan 51 institusi Politeknik dan Kolej Komuniti (PolyCC).








