Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, berikrar melaksanakan titah Agong untuk perangi rasuah secara besar-besaran tanpa pilih bulu.
NILAI: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan melaksanakan titah Diraja Yang di-Pertuan Agong untuk memerangi amalan rasuah secara besar-besaran sebaik mungkin.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata, suruhanjaya itu akan menggiatkan usaha membanteras rasuah dan memastikan siasatan dilakukan dengan lebih efektif.
“Yang di-Pertuan Agong telah menyebut tentang agensi-agensi yang sedang disiasat ini, kami akan bergerak menyiasat kes sebegini dengan lebih efektif tanpa memilih kasih, memilih ‘bulu’, tanpa mengira kelas seseorang itu dan sebagainya,” katanya.
Beliau mengulas titah Seri Paduka Baginda Sultan Ibrahim yang menegaskan tiada sesiapa pun boleh dilindungi daripada tindakan undang-undang.
Azam berkata demikian selepas merasmikan Pusat Latihan Asas (PLA) Akademi SPRM (MACA) di sini.
Baginda turut menitahkan agar usaha membanteras rasuah tidak tertumpu hanya kepada penerima rasuah.
Pemberi rasuah, ejen atau mana-mana pihak yang bersubahat juga perlu disiasat dan dikenakan tindakan tegas.
SPRM juga dititah menjalankan siasatan dengan cepat, tegas dan menyeluruh tanpa mengira pangkat atau kedudukan.
Mengenai PLA, Azam berkata pusat berkenaan menelan kos kira-kira RM4 juta dan boleh memuatkan lebih 200 peserta.
Ia mencerminkan komitmen berterusan SPRM melahirkan generasi baharu pegawai yang kompeten, bermoral dan beretika tinggi.
Kursus asas pertama membabitkan 176 peserta akan bermula pada Februari ini selama sembilan bulan.
Pengarah Kanan MACA Datuk Mohd Hafaz Nazar berkata, PLA selari dengan aspirasi Pelan Pembangunan Sumber Manusia Jabatan Perkhidmatan Awam.
Pewujudan pusat latihan ini membolehkan Kursus Asas Pegawai SPRM 2026 dilaksanakan secara lebih tersusun dan berimpak.
“Pusat ini tidak wajar dilihat sebagai sebuah pusat latihan yang terasing atau bersifat berdiri sendiri, sebaliknya, ia perlu difahami sebagai pusat latihan satelit yang melengkapi peranan MACA secara keseluruhan,” katanya.








