PASANGAN selebriti Diana Danielle, 34, dan Farid Kamil, 43, berpisah buat kali kedua hari ini diatas persetujuan bersama.

Kedua-dua mereka mencapai kata sepakat untuk bercerai diantara satu sama lain sekitar pukul 10 pagi tadi di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur.

Menurut Sinar Harian, peguam syarie yang mewakili Diana, Datuk Akberdin Abdul Kader berkata, kedua-dua belah pihak telah bersetuju untuk bercerai secara baik dan lafaz cerai dilakukan di hadapan Hakim Syarie, Abdul Fattah Datuk Kamarudin.

“Kedua-dua belah telah bersetuju untuk bercerai secara baik. Jadi Farid telah ceraikan Diana dengan talak satu buat kali kedua.

“Alhamdulillah, kita dah selesaikan secara baik.”

Malah bekas pasangan tersebut dilaporkan berjalan beriringan sebaik keluar dari dewan perbicaraan pada jam 10.50 pagi sebaik kes itu diselesaikan.

Ini merupakan perceraian kedua pasangan tersebut yang mula mendirikan rumah tangga pada 3 November 2012.

Diana, atau nama sebenarnya Diana Danielle Danny Beeson, mempunyai dua cahaya mata menerusi perkahwinannya bersama Farid iaitu Muhammad, 11, dan Nur Aurora, 9.

Pasangan tersebut bercerai buat kali dengan talak satu menerusi aplikasi Google Meet pada 10 Ogos 2023, sebelum kembali bersama dan cuba menyelesaikan isu rumah tangga mereka.