DENGAN syawal bakal menjelang, dan seperti sambutan perayaan yang lain, rakyat Malaysia menunjukkan keindahan negara kita dengan membuktikan bahawa masyarakat berbilang di sini bersedia untuk membantu antara satu sama lain tanpa mengenal warna kulit.
Baru-baru ini tular sebuah video di TikTok yang menampilkan keindahan dan keunikan hubungan rakyat kita.
Dalam video tersebut, pempengaruh terkenal berbangsa India, Devadass David, dilihat membawa sekumpulan kanak-kanak lelaki Melayu, yang juga merupakan anak yatim piatu, ke sebuah kedai pakaian di Senawang, Negeri Sembilan - untuk membeli kelengkapan Raya baharu untuk mereka.
Jelas terpampang kegembiraan di raut wajah kanak-kanak tersebut apabila Devadass berkata yang tujuan mereka dibawa ke kedai tersebut adalah untuk membeli pakaian raya baharu buat mereka.
Devadass juga turut menggalakkan kanak-kanak itu untuk membeli pakaian mengikut warna kegemaran mereka serta memilih songkok pilihan masing-masing.
“Melihat kepada mereka ini mengimbau memori saya di zaman kanak-kanak saya. Hari ini, dapat belanja mereka membuatkan saya beremosi tapi saya tak boleh menangis,“ kata Devadass.
Menurutnya, dia tahu bagaimana rasa menjadi anak yatim setelah kehilangan bapanya sejak kecil.
Tambahnya lagi, ibunya membesarkan dirinya secara sendirian sejak dari kejadian itu.
Video tersebut telah ditonton sebanyak lebih 870,000 kali sejak mula dimuatnaik dan telah menerima lebih 7,000 komen dari pengguna sosial media yang memuji kemurahan hati David.
Malah ramai juga yang meninggalkan komen yang kebaikan hati David tersebut membuatkan mereka sebak.