AirAsia tawarkan tambang tetap RM328 ke Sarawak, RM398 ke Sabah dari KL bagi perayaan Tahun Baharu Cina dan Aidilfitri 2026.
SEPANG: AirAsia menawarkan tiket penerbangan tambang tetap pada kadar RM328 ke Sarawak dan RM398 ke Sabah dari Kuala Lumpur bagi laluan sehala sempena perayaan Tahun Baharu Cina dan Aidilfitri.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata inisiatif itu bertujuan memastikan rakyat dapat pulang ke kampung dengan tambang mampu milik semasa musim perayaan.
“Saya gembira melihat peranan berterusan AirAsia dalam menyokong usaha kerajaan menguruskan permintaan perjalanan semasa musim perayaan,” katanya pada Majlis Pengumuman Tambang Tetap AirAsia di sini.
Loke menambah tambang tetap ini memberi kepastian kepada rakyat ketika merancang perjalanan dan menyokong penyatuan keluarga.
Sepanjang tempoh perayaan, inisiatif ini menawarkan sebanyak 1,578 penerbangan dengan lebih 31,000 tempat duduk.
Tempahan tiket bagi Tahun Baharu Cina dibuka mulai hari ini hingga 24 Februari untuk perjalanan antara 13 hingga 24 Februari 2026.
Manakala tempahan bagi Aidilfitri dibuka mulai hari ini hingga 26 Mac bagi perjalanan antara 18 hingga 26 Mac depan.
Loke juga berkata kerajaan kekal komited menyokong pelajar melalui program baucar FLYSiswa bernilai RM400 yang akan diteruskan tahun ini.
“Inisiatif FLYSiswa untuk tahun ini akan dilaksanakan pada minggu hadapan,” katanya.
Kementerian Pengangkutan akan menganjurkan Karnival FLYSiswa 2026 pada 13 Januari ini di Universiti Putra Malaysia.
Pelajar yang layak akan menerima baucar digital bernilai RM400 untuk pembelian tiket penerbangan dengan syarikat penerbangan tempatan.








