JKDM catat peningkatan 15.33% nilai sitaan kepada RM1.88 bilion tahun lepas, dengan rokok, minuman keras dan dadah antara rampasan utama
PUTRAJAYA: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya mematahkan 7,097 kes cubaan penyeludupan dan penyelewengan pada 2025.
Nilai keseluruhan sitaan pelbagai barangan bagi tempoh tersebut mencecah RM1.88 bilion.
Ketua Pengarah JKDM Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin berkata pencapaian itu mencatat peningkatan 15.33% berbanding RM1.63 bilion pada 2024.
“Prestasi ini mencerminkan keupayaan dan ketegasan JKDM dalam melaksanakan penguatkuasaan undang-undang secara berterusan,” katanya dalam sidang media.
Beliau berkata antara barangan rampasan utama tahun lepas ialah rokok dalam 2,742 kes, minuman keras (920 kes), dadah (734 kes) dan kenderaan (516 kes).
Anis Rizana menegaskan barangan rampasan seperti rokok dan minuman keras tidak dijual kepada orang awam tetapi dilupuskan sepenuhnya.
Bagi kenderaan rampasan, pelupusan dilakukan mengikut peraturan melalui tender terbuka bagi memastikan ketelusan dan menjana hasil kerajaan.
JKDM turut mengaplikasikan pendekatan bersepadu yang menggabungkan kecerdasan manusia dan kecerdasan buatan (AI) untuk meningkatkan kecekapan operasi.
“Pendekatan ini membolehkan keputusan operasi dibuat berasaskan data dan risiko,” jelasnya.
Jabatan itu juga melangkah dalam agenda transformasi digital dengan memperoleh 134 unit mesin pengimbas moden berkeupayaan tinggi dilengkapi teknologi AI.
Mesin pengimbas itu berupaya mengenal pasti barangan yang diimbas dalam tempoh masa yang singkat.
Bagi memastikan operasi berlandaskan integriti, JKDM melaksanakan pusingan kerja 100% untuk 2025, melebihi penetapan minimum 50% oleh JPA.
“Langkah ini memperkukuh kecekapan operasi dan mengurangkan risiko berkaitan integriti serta tadbir urus,” kata Anis Rizana.








