Laluan Gua Musang-Kuala Lipis berhampiran projek LTU selesai dibaiki, legakan pengguna selepas kesesakan trafik teruk akibat jalan rosak
GUA MUSANG: Pengguna dan penduduk sekitar melahirkan rasa syukur apabila laluan Gua Musang-Kuala Lipis berhampiran projek Lingkaran Tengah Utama (LTU) dekat Kampung Lepan Jaya yang rosak teruk selesai dibaiki.
Seorang penduduk, Azhar Salleh, 59, berkata beliau lega akhirnya punca kesesakan trafik yang teruk itu selesai dibaik pulih.
“Kita sememangnya mengharapkan pihak berwajib sentiasa memastikan laluan ini diselenggara dengan baik kerana ia boleh membahayakan keselamatan pengguna,” katanya.
Beliau menambah aliran trafik kini berjalan lancar tanpa kesesakan.
Namun, jalan sementara LTU pakej 3BC berhampiran Taman Wangi masih belum dibaiki.
Pegawai Penguasa Unit Projek Khas (UPK) ECER 1 Zulkhairi Abdul Aziz berkata kerja-kerja pembaikan tidak dapat dilaksanakan lebih awal berikutan kekangan bekalan bahan turapan.
“Hasil kerjasama antara pihak UPK ECER 1 Cawangan Jalan JKR bersama ketua masyarakat setempat, pihak kontraktor akhirnya berjaya mendapatkan bekalan daripada pembekal,” jelasnya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas Datuk Mohd Syahbuddin Hashim berkata kerja-kerja baik pulih jalan tersebut mengambil masa kira-kira empat jam.
Kerja pembaikan bermula kira-kira 2 pagi di kawasan Kampung Lepan Jaya yang menjadi punca kenderaan perlahan.
“Terima kasih kepada Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Kementerian Kerja Raya (KKR), Jabatan Kerja Raya (JKR), kontraktor dan pembekal yang mengambil tindakan segera,” ujarnya.
Tinjauan mendapati aliran trafik di kawasan berkenaan kini lancar selepas permukaan jalan yang rosak diturap sepenuhnya.
Sebelum ini, pengguna mendakwa projek LTU pakej 3BC dan 3D yang tidak siap menyebabkan kesesakan luar biasa di laluan terbabit.








