APMM Pulau Pinang tahan dua kapal dan lima kru asing dalam operasi berasingan kerana kesalahan perikanan dan bersauh tanpa kebenaran
GEORGE TOWN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang menahan dua kapal dan lima kru warga asing dalam operasi berasingan di perairan negeri ini minggu ini.
Pengarah Maritim Pulau Pinang Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata penahanan pertama melibatkan sebuah vesel nelayan tempatan (VNT) Kelas C dikendalikan tiga warga Thailand kerana menjalankan aktiviti perikatan kurang dari 15 batu nautika.
Beliau berkata ketiga-tiga lelaki berusia lingkungan 41 hingga 58 tahun itu kemudian diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim negeri untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat lesen.
“Selain itu, siasatan turut dijalankan di bawah Akta Imigresen 1959/63 selepas seorang kru gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata penahanan kedua melibatkan sebuah kapal layar asing kerana disyaki bersauh tanpa kebenaran yang merupakan kesalahan di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952.
Muhammad Suffi berkata hasil pemeriksaan susulan maklumat risikan yang diterima kira-kira 6.45 petang mendapati kapal layar berkenaan mengibarkan bendera United Kingdom (UK).
Menurut beliau, ia dikendalikan dua warga Britain berusia 48 dan 67 tahun, dengan seorang daripadanya merupakan nakhoda.
“Maritim Pulau Pinang akan terus mempergiat rondaan dan penguatkuasaan bagi memastikan pematuhan undang-undang maritim, khususnya berkaitan aktiviti perikanan demi melindungi keselamatan perairan serta kelestarian sumber marin negara,” katanya.








