the sun malaysia ipaper logo 150x150
Monday, June 22, 2026
21.7 C
Malaysia
the sun malaysia ipaper logo 150x150

Sultan Pahang akan terus bersuara mengenai isu pencerobohan tanah

KUANTAN: Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah baginda akan terus bersuara mengenai isu pencerobohan tanah di negeri ini sehingga kegiatan itu dihentikan sepenuhnya.

Bagaimanapun, baginda bertitah usaha itu memerlukan kerjasama semua pihak termasuk penyaluran maklumat daripada rakyat dan gerak kerja daripada Pejabat Daerah dan Tanah serta Jabatan Perhutanan Negeri.

“Saya akan bersuara apabila ada pencerobohan bukan sahaja di Raub dan Cameron Highlands, malah seluruh daerah di Pahang, tetapi saya tak mampu buat sendiri, harap rakyat beri maklumat kepada pejabat saya dan kerajaan … kalau mereka tidak beri maklumat mungkin susah nak awasi,” titah baginda.

Al-Sultan Abdullah bertitah demikian dalam temu bual khas dengan Bernama di Istana Abdulaziz, di sini baru-baru ini, bersempena dengan Hari Keputeraan baginda ke-66.

Baginda bertitah isu itu yang mendapat liputan meluas serta menerima pelbagai reaksi daripada masyarakat, telah menimbulkan kesedaran atau wake-up call dalam kalangan pihak berkepentingan serta penduduk di negeri ini.

“Apabila isu ini berlaku, setakat ini apa yang saya dapat lihat ada kesedaran daripada semua pihak antaranya rakyat dan pentadbir khusus pada peringkat daerah.

“Banyak juga maklumat datang ke pejabat saya yang kemudian telah disalurkan kepada kerajaan negeri untuk tindakan lanjut,” titah baginda.

Al-Sultan Abdullah turut bertitah bahawa negara ini, khususnya negeri Pahang bukan tempat untuk mana-mana pihak melakukan pencerobohan tanah sewenang-wenangnya.

“Hentikan segera amalan menceroboh tanah, lombong dan balak ini … lebih penting saya harap mereka yang ada niat nak menceroboh, eloklah tinggalkan Pahang, pergi luar dari Malaysia. Ini kerana undang-undang akan ‘menyusahkan’ mereka dan keluarga kelak,” tegas baginda.

Baginda sebelum ini turut menzahirkan rasa dukacita selepas disembah maklum terdapat kira-kira 10,521 hektar tanah di Raub telah diceroboh sejak sekian lama.

Sebanyak 14,494.9 hektar tanah kerajaan juga dilaporkan telah diteroka secara tidak sah dan diusahakan dengan tanaman sawit, getah, durian dan pelbagai hasil bumi, selain seluas 5,997.09 hektar Hutan Simpanan Kekal (HSK) turut diceroboh.

Kesungguhan Al-Sultan Abdullah untuk membanteras kegiatan berkenaan turut terzahir dengan mencemar duli turun pandang dan memandu sendiri kenderaan pacuan empat roda untuk melihat kesan pencerobohan di Raub pada 8 Mei lepas.

Dalam pada itu, baginda menzahirkan hasrat untuk memajukan industri kecil dan sederhana (IKS) di negeri ini melalui pelaksanaan pelbagai program terutamanya yang melibatkan belia.

Baginda bertitah golongan muda perlu berusaha meningkatkan kualiti hidup dengan menyertai IKS bagi mengetengahkan pelbagai produk di negeri ini.

“Saya pun cadang nak jumpa Exco berkaitan untuk bincang supaya kita adakan program yang boleh majukan IKS secara total. Saya harap kita dapat utamakan IKS ini … buatlah sekecil mana pun (perniagaan), tetapi biarlah mampan,” titah baginda. – Bernama

STAY AHEAD OF THE CURVE

Join our community for instant updates and exclusive content.

Join Telegram Channel

Related


spot_img

Latest News

AS Watson Launches brand lab to Turn Retail Scale into a Data-driven Brand Growth...

HONG KONG SAR - Media OutReach Newswire - 22 June 2026 - AS Watson Group has launched AS Watson brand lab, a data-driven brand creation and scaling platform designed to systematically identify, develop, and grow brands across its global retail ecosystem.

Ucore Produces NdPr Oxide and Ships Qualification Samples to Major Rare Earth Magnet Manufacturers

Halifax, Nova Scotia--(Newsfile Corp. - June 22, 2026) - Ucore Rare Metals Inc.(TSXV: UCU) (OTCQX: UURAF) ("Ucore" or the "Company") is pleased to announce that it has produced commercial-grade neodymium-praseodymium ("NdPr") oxide and shipped initial qualification samples to major rare earth permanent magnet manufacturers for technical evaluation.

Most Viewed

spot_img
WC26

World Cup 2026

Updates, Fixtures, Results & Standings