Polis KL rampas 1,085 tan dadah bernilai RM1.1 bilion sepanjang 2025, tahan 20,540 suspek dan sita harta bernilai RM14 juta.
KUALA LUMPUR: Sebanyak 1,085,013 kilogram dadah pelbagai jenis bernilai RM1.106 bilion berjaya dirampas di sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sepanjang tahun lepas.
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Fadil Marsus berkata seramai 20,540 suspek turut ditahan melibatkan 18,352 kes berkaitan aktiviti pengedaran, pemilikan dan penyalahgunaan dadah.
Beliau berkata jumlah berkenaan menggambarkan ancaman pengedaran dan penyalahgunaan dadah masih membelenggu masyarakat bandar.
Tindakan tegas turut diambil terhadap 498 tangkapan yang dikenal pasti sebagai penagih berulang di bawah Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya 1952.
Hukuman bagi kesalahan itu ialah penjara selama lima tahun dan tidak melebihi tiga sebatan.
Dalam usaha mengekang aktiviti pengedaran dadah, sebanyak 77 ahli sindiket turut diambil tindakan di bawah Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985.
Tindakan sitaan harta turut dilaksanakan di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 dengan nilai sitaan berjumlah RM14 juta.
Harta yang disita melibatkan tanah, rumah, kenderaan, wang tunai dan barang kemas.
Pelupusan barang kes dadah dan kertas siasatan juga dijalankan melibatkan 24,149 barang kes dadah dengan berat keseluruhan 2,185 kilogram.
Barang kes bernilai RM44 juta itu melibatkan tempoh dari 2009 hingga 2024.
Sebanyak 3,527 kertas siasatan merangkumi dari 1993 hingga 2016 juga telah dilupuskan mengikut prosedur yang ditetapkan.
Polis Diraja Malaysia khususnya Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik akan terus berusaha memerangi musuh nombor satu negara.
Masyarakat diharap menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dadah melalui Hotline JSJN di talian 012-208 7222.








