the sun malaysia ipaper logo 150x150
Tuesday, January 13, 2026
23.3 C
Malaysia
the sun malaysia ipaper logo 150x150
spot_img

Polis sahkan anggota terlibat insiden tampar di stesen minyak

Polis Johor sahkan individu dalam video tampar penunggang motosikal di stesen minyak Taman Perling adalah seorang anggota polis yang sedang bercuti.

JOHOR BAHRU: Polis mengesahkan individu yang terlibat dalam insiden seorang lelaki ditampar di sebuah stesen minyak di Taman Perling adalah seorang anggota polis.

Pemangku Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara Superintenden Azrol Anuar Nor berkata siasatan awal mendapati kejadian berlaku pada 6.50 petang semalam.

“Individu terlibat dikenal pasti anggota di Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Utara dan sedang bercuti semasa kejadian berlaku,” katanya dalam satu kenyataan.

Azrol Anuar berkata polis belum menerima laporan rasmi berkaitan kejadian itu.

Namun, mangsa telah dikenal pasti dan usaha sedang dijalankan untuk mengesannya bagi membantu siasatan.

Beliau berkata polis memandang serius dakwaan kesalahan atau salah laku yang melibatkan pegawai dan anggota.

“Sehubungan itu, satu siasatan dalaman telah dibuka dan tindakan tegas akan diambil sekiranya didapati berlaku sebarang pelanggaran,” katanya.

Azrol Anuar menasihatkan orang ramai agar tidak membuat spekulasi berhubung insiden itu.

Beliau mengalu-alukan kerjasama mereka yang mempunyai maklumat untuk membantu siasatan.

Terdahulu, satu video berdurasi 33 saat tular memaparkan seorang penunggang motosikal yang sedang membonceng seorang wanita ditampar oleh seorang lelaki.

Kejadian itu didakwa berlaku di sebuah stesen minyak.

Related

spot_img

Latest

Most Viewed

spot_img

Popular Categories