SPRM akan siapkan kertas siasatan beberapa kes berprofil tinggi, termasuk rasuah perolehan TDM dan bekas menteri, dalam tempoh terdekat.
PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menyiapkan kertas siasatan beberapa kes berprofil tinggi dalam tempoh terdekat.
Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki, berkata pegawai penyiasat akan menjalankan siasatan lebih mendalam bagi memastikan kertas siasatan yang lengkap dan kukuh dapat disediakan.
“Kalau kita kata seseorang itu menerima rasuah, siapa pemberinya? Kalau wang itu ada dalam akaun, siapa yang memberi? Itu yang saya harapkan akan dibuktikan oleh pegawai saya,” katanya dalam podcast Sembang Tamu SPRM.
Beliau menambah usaha sedang dilakukan ke arah menyiapkan kertas siasatan bagi kes-kes berkenaan.
Antara kes yang sedang disiasat ialah berhubung perolehan Tentera Darat Malaysia yang melibatkan beberapa pegawai tertinggi.
SPRM juga menyiasat seorang bekas menteri yang didakwa menerima wang kira-kira RM5 juta daripada sebuah syarikat pemaju.
Azam berkata beliau akan bertemu Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, pada Rabu depan bagi membincangkan isu dalam proses perolehan kementerian itu.
Beliau menegaskan isu perolehan di Kementerian Pertahanan berskala lebih besar dan perlu lebih ‘dibersihkan’.
“Kerana yang kita nak lihat itu bukan hanya kes yang kita ada sekarang, tetapi skala yang lebih besar daripada itu,” jelasnya.
Perincian status terkini siasatan itu akan dibentangkan dalam sidang media esok.
Pada 23 Disember lalu, SPRM telah hadir ke Kementerian Pertahanan bagi menyiasat projek-projek yang dilaksanakan melalui kaedah tender terbuka.
Seorang bekas Panglima Tentera Darat telah direman tujuh hari pada 8 Januari lalu bagi membantu siasatan.
SPRM turut menyita emas, kenderaan SVR, wang tunai pelbagai mata wang asing dianggarkan bernilai RM6.9 juta, serta 23 utas jam tangan Rolex.
Seorang lagi pegawai tinggi Angkatan Tentera Malaysia turut ditahan hari ini bagi membantu siasatan kes rasuah melibatkan pasukan beruniform.








