PM Anwar Ibrahim arah semua kementerian berkaitan kemuka laporan proses pelaksanaan Rancangan Pendidikan Negara 2026-2035 mulai Mac ini.
PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan semua kementerian, jabatan dan institusi pendidikan berkaitan mengemukakan laporan proses pelaksanaan Rancangan Pendidikan Negara (RPN) 2026-2035 mulai Mac ini.
Beliau berkata cabaran utama bukan pada merangka pelan yang kelihatan gah, tetapi memastikan setiap program diterjemah dengan berkesan di lapangan.
“Itu bukan sahaja peringatan tetapi amaran keras daripada saya kerana saya bimbang banyak pelan yang kita boleh luncurkan tetapi pelaksanaannya mungkin tidak sampai,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran RPN 2026-2035 di sini.
Anwar berkata RPN merupakan pelan besar untuk masa depan negara serta generasi muda, dan hanya akan memberi makna sekiranya dilaksanakan dengan baik.
“Ini memberikan satu gambaran tentang betapa seriusnya kita untuk membawa perubahan, melakukan lonjakan, transformasi dan reformasi dalam bidang pendidikan,” katanya.
RPN 2026-2035 merupakan langkah reformasi pendidikan bagi membina masa depan generasi muda yang lebih adil, berdaya saing dan berteraskan nilai.
Pelan pendidikan baharu itu membabitkan Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pendidikan Tinggi.
Ia adalah rancangan strategik pendidikan nasional yang merangkumi keseluruhan ekosistem pendidikan negara daripada peringkat sekolah hingga pendidikan tinggi.









