the sun malaysia ipaper logo 150x150
Friday, July 3, 2026
27.5 C
Kuala Lumpur
the sun malaysia ipaper logo 150x150

Op Cyber Guardian: Empat ditahan, miliki lebih 50,000 bahan penganiayaan seksual kanak-kanak

KUALA LUMPUR: Empat individu termasuk seorang penjawat awam ditahan manakala lebih 50,000 bahan penganiayaan seksual kanak-kanak (CSAM) dirampas dalam Op Cyber Guardian yang dijalankan antara 24 Feb hingga 28 Mac lepas di beberapa lokasi di Selangor dan Pulau Pinang.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata operasi berkenaan dijalankan secara bersepadu dengan pihak berkuasa beberapa negara termasuk Jepun, Hong Kong, Korea Selatan, Thailand dan Singapura.

“Di Malaysia, operasi dilakukan di Kajang, Ampang Jaya, Petaling Jaya serta Shah Alam di Selangor dengan empat tangkapan dilakukan termasuk melibatkan seorang penjawat awam, manakala di Pulau Pinang di kawasan Timur Laut.

“Operasi melibatkan 46 pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dibantu Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta bantuan teknikal Unit Anjing Pengesan K9 PDRM bagi tujuan mengesan peranti elektronik.

Beliau berkata individu ditahan berusia lingkungan 26 hingga 49 tahun dan mereka bekerja sebagai akauntan, pereka web dan ‘protege’ di sebuah syarikat telekomunikasi.

Ayob Khan berkata siasatan awal mendapati kesemua individu berkenaan menggunakan peranti elektronik secara dalam talian bagi mengakses dan mendapatkan bahan CASM secara rakan ke rakan (p2p) sebelum berkongsi bahan itu melalui kumpulan Telegram, selain turut menyimpannya untuk diri sendiri.

Beliau berkata kebanyakan bahan pornografi CASM terbabit dimuat turun dan disimpan dalam peranti elektronik seperti cakera keras, telefon bimbit, komputer, komputer riba dan tablet.

“Kes disiasat di bawah Akta Kanak-Kanak 2001, Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, Kanun Keseksaan dan undang-undang lain yang berkuat kuasa.

“Empat kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 10 Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 bagi kesalahan mengakses CASM dan Seksyen 293 Kanun Keseksaan bagi kesalahan memiliki bahan-bahan lucah,” katanya.

Ayob Khan berkata seorang daripada suspek telah dituduh di Petaling Jaya baru-baru ini bawah Seksyen 292 Kanun Keseksaan dan didenda RM3,000 setelah mengaku bersalah atas kesalahan itu, namun suspek masih akan dituduh di bawah Seksyen 10 Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak kanak 2017.

“Di Shah Alam, seorang lagi suspek didenda RM6,000 setelah mengaku bersalah di bawah seksyen yang sama, manakala dua lagi kertas siasatan masih menunggu laporan forensik,” katanya.

Sebelum ini, Ayob Khan memaklumkan secara keseluruhan, operasi melibatkan enam negara itu berjaya menahan 435 individu yang terlibat dalam jenayah mengedar bahan CASM bermula 24 Feb hingga 28 Mac.

STAY AHEAD OF THE CURVE

Join our community for instant updates and exclusive content.

Join Telegram Channel

Related


spot_img

Latest News

Bora Pharmaceuticals Completes Acquisition of MacroGenics’ Rockville Manufacturing Operations

TAIPEI, TAIWAN - Media OutReach Newswire - 2 July 2026 - Bora Pharmaceuticals Co., Ltd. ("Bora" or "Bora Group"; TWSE: 6472; OTCQX: BORAY) today announced the completion of its acquisition of the GMP manufacturing operations of MacroGenics, Inc. (NASDAQ: MGNX) including its biologics drug substance facility in Rockville, Maryland and an associated warehousing center in Frederick, Maryland, for total consideration of US $122.5 million through its wholly owned subsidiary Bora Biologics USA, LLC.. Upon closing, Bora signed a long-term CDMO Service Agreement with MacroGenics.

Most Viewed

spot_img
WC26

World Cup 2026

Updates, Fixtures, Results & Standings