the sun malaysia ipaper logo 150x150
Monday, June 22, 2026
21.7 C
Malaysia
the sun malaysia ipaper logo 150x150

KPDN kekalkan kuota 60,000 tan metrik minyak masak bersubsidi sebulan

KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) masih mengekalkan kuota 60,000 tan metrik minyak masak paket bersubsidi untuk setiap bulan di pasaran.

Timbalan Menteri berkenaan Dr Fuziah Salleh berkata keputusan itu dibuat selepas mengambil kira data Jabatan Perangkaan Malaysia pada 2022 yang menyatakan jumlah penggunaan minyak masak paket bagi 80 peratus daripada 7.9 juta isi rumah adalah 30.3 juta metrik tan sebulan, manakala industri mikro pula menggunakan 21,280 metrik tan sebulan.

“Jumlah 60,000 tan minyak masak paket ini mencukupi untuk kita agihkan kepada isi rumah dan industri mikro,“ katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Cha Kee Chin (PH-Rasah) mengenai berapa jumlah subsidi yang telah dibelanjakan untuk pelaksanaan Sistem Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (ECOSS) sepanjang 2024 dan adakah KPDN bersedia untuk meningkatkan kuota 60,000 tan metrik minyak masak paket bersubsidi di pasaran runcit.

Sementara itu Fuziah berkata kerajaan telah membelanjakan RM1.945 bilion untuk program skim penstabilan harga minyak masak dengan pecahan RM845 juta diperuntukan dalam Belanjawan 2024 dan RM1.1 bilion diperuntukan dalam ‘supplementary bill’.

Selain itu beliau berkata KPDN juga sedang berunding dengan agensi berkaitan untuk membangunkan satu projek rintis pada tahun ini bagi membolehkan pengguna membeli minyak masak paket menggunakan sistem ID.

“Sistem itu dilaksanakan bagi mengenal pasti warganegara Malaysia yang layak untuk mendapatkan bekalan tersebut, selain mengurangkan masalah ketirisan,” katanya yang menjawab soalan tambahan Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (PN-Tanjong Karang) yang ingin tahu adakah KPDN bersedia untuk memberi subsidi minyak masak secara terus melalui MyKad.

STAY AHEAD OF THE CURVE

Join our community for instant updates and exclusive content.

Join Telegram Channel

Related


spot_img

Latest News

Most Viewed

spot_img
WC26

World Cup 2026

Updates, Fixtures, Results & Standings