the sun malaysia ipaper logo 150x150
Friday, January 30, 2026
22.3 C
Malaysia
the sun malaysia ipaper logo 150x150
spot_img

Kementerian teliti semula diskaun saman untuk kenderaan asing

Kementerian Pengangkutan akan teliti semula tawaran diskaun saman untuk kenderaan asing, termasuk dari Thailand, bagi pastikan keberkesanan penguatkuasaan.

KOTA BHARU: Kementerian Pengangkutan akan meneliti semula tawaran diskaun saman yang diberikan kepada kenderaan asing, termasuk dari Thailand.

Menteri Anthony Loke (gambar) berkata langkah itu bagi memastikan keberkesanan pendekatan penguatkuasaan yang dilaksanakan.

Beliau berkata tawaran diskaun sebelum ini adalah budi bicara Jabatan Pengangkutan Jalan untuk galakkan penyelesaian saman dalam tempoh ditetapkan.

“Bagaimanapun, sekiranya pendekatan ini didapati tidak mencapai keberkesanan yang diharapkan, kementerian akan meneliti semula mekanisme tersebut khusus untuk kenderaan asing,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Program Transformasi Perkhidmatan Bas Berhenti-Henti BAS.My Kota Bharu.

Loke berkata perbincangan lanjut dengan JPJ akan diadakan bagi menilai langkah penambahbaikan yang sesuai.

Semalam, media melaporkan lebih 1,000 van Thailand dikesan bergiat aktif di sempadan di empat negeri.

Setiap kenderaan itu dikatakan mampu mengaut keuntungan hingga RM30,000 sebulan bagi membawa penumpang.

Van berkenaan dikatakan membawa penumpang dari Selatan Thailand ke Lembah Klang hingga ke Johor.

Sementara itu, Loke berkata tindakan tegas akan diambil terhadap syarikat pengendali bas yang beroperasi tanpa pemasangan peranti had kelajuan.

Beliau berkata penguatkuasaan penuh bermula selepas tamat tempoh fasa pertama pada 31 Disember lepas.

“Syarikat bas yang gagal mematuhi syarat berkenaan akan dikenakan tindakan sewajarnya,” katanya.

SLD berfungsi mengehadkan kelajuan maksimum bas kepada 90 kilometer sejam.

Loke menambah langkah itu penting bagi mengekang pemanduan berbahaya serta mengurangkan risiko kemalangan maut.

Selain itu, kerajaan turut memperkukuh pemantauan terhadap pemandu bas menerusi pembangunan pangkalan data pemandu oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat.

Beliau berkata sistem berkenaan membolehkan syarikat pengendali menyemak rekod kesalahan lalu lintas dan status lesen pemandu.

Loke berkata ia sekali gus meningkatkan tahap keselamatan operasi pengangkutan awam negara.

Mengulas mengenai pemasangan sistem telematik bagi memantau sikap pemandu bas, Loke berkata ia adalah langkah efektif kementeriannya.

Beliau berkata pemasangan sistem berkenaan kini dilaksanakan secara sukarela sebelum diwajibkan sepenuhnya dalam tempoh terdekat.

“Sistem telematik itu merangkumi penggunaan sistem kedudukan global dan kamera litar tertutup termasuk rakaman papan pemuka,” katanya.

Loke berkata ia bagi memantau keadaan pemandu semasa bertugas, sama ada keletihan atau kurang fokus.

“Kita mahu memastikan pemandu bas dipantau secara berterusan bagi meningkatkan tahap keselamatan operasi,” katanya.

Related

spot_img

Latest

Most Viewed

spot_img

Popular Categories