the sun malaysia ipaper logo 150x150
Monday, June 22, 2026
21.7 C
Malaysia
the sun malaysia ipaper logo 150x150

ECRL: Pagar halangan fizikal elak konflik manusia-gajah dibina di hutan simpan Kemasul

KUALA LUMPUR: Jajaran Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di sepanjang Hutan Simpan Kemasul, Temerloh di Pahang akan melibatkan pembinaan pagar halangan fizikal gajah di kedua-dua landasan bagi mengelak konflik manusia-gajah di kawasan berkenaan.

Pemilik ECRL Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) memaklumkan, perbincangan dengan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) mendapati, pembinaan pagar itu perlu kerana jajaran di hutan simpan tersebut merentasi beberapa ladang pertanian dan kawasan pinggiran hutan, yang menjadi habitat kumpulan gajah.

“Pembinaan pagar halangan fizikal gajah merupakan salah satu kawalan mitigasi, bagi menghalang kemasukan gajah ke kawasan landasan kereta api ECRL, yang boleh menyebabkan kemalangan,” menurut kenyataan dikeluarkan MRL di sini hari ini.

MRL memaklumkan Perhilitan juga mengesyorkan supaya dami reka bentuk pagar itu dibina di lokasi sebenar bagi menguji ketahanan dan keberkesanan pagar, sebelum keputusan reka bentuk dimuktamadkan, yang dilakukan pada 23 Okt, dengan melibatkan dua ekor gajah.

Rakaman video gajah tersebut menolak struktur pagar, yang merupakan sebahagian daripada proses ujian ketahanan reka bentuk, tular di media sosial baru-baru ini.

MRL memaklumkan ECRL dan Perhilitan akan mengadakan perbincangan susulan dalam masa terdekat, berhubung dapatan ujian itu.

Kenyataan sama menyebut kontraktor utama ECRL, China Communications Construction (ECRL) Sdn Bhd dan Perhilitan juga telah memeterai perjanjian tambahan, pelaksanaan Pelan Pengurusan Hidupan Liar (Wildlife Management Plan) pada 2022 bagi menambah baik kerja pemuliharaan dan mitigasi hidupan liar.

Pembinaan jajaran sepanjang 665 kilometer (km) yang merentasi Pahang, Terengganu dan Kelantan juga melibatkan pembinaan 41 terowong, kira-kira 145km laluan bertingkat atau jejambat, serta 28 lintasan hidupan liar di lokasi strategik bagi mengurangkan kesan alam sekitar dalam pembinaannya.

STAY AHEAD OF THE CURVE

Join our community for instant updates and exclusive content.

Join Telegram Channel

Related


spot_img

Latest News

Most Viewed

spot_img
WC26

World Cup 2026

Updates, Fixtures, Results & Standings