KUALA LUMPUR: Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM63 juta untuk memperhebat Kempen Menangani Antiminyak Sawit dan menggalakkan pensijilan mampan termasuk oleh pekebun kecil persendirian.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Malaysia telah berjaya menangkis tohmahan Barat terhadap sawit menerusi peningkatan eksport terutamanya ke China dan India.
Beliau yang juga Menteri Kewangan menyatakan RM20 juta turut disediakan bagi menyokong syarikat mula niaga mengeluarkan produk mekanisasi dan automasi dengan kerjasama Lembaga Minyak Sawit Malaysia dan syarikat utama sawit.
Kerajaan juga memperuntukkan hampir RM120 juta untuk membela nasib pekebun kecil yang bekerja di ladang.
Peruntukan tersebut bertujuan menampung sebahagian kos tanaman semula pekebun kecil sawit bagi menggantikan pokok sawit tua.
Inisiatif ini turut menggalakkan pekebun kecil getah menghasilkan getah dan mengusaha semula ladang getah persendirian yang terbiar.
Kerajaan akan membekalkan pekebun kecil koko dengan 1.1 juta anak benih koko berkualiti termasuk bantuan latihan oleh pemain industri.
Program ini bertujuan mengurangkan beban pekebun kecil lada susulan peningkatan kos input seperti baja dan racun.
Ia juga menyokong pekebun kecil kenaf untuk meningkatkan hasil kenaf sebagai antara sumber pertumbuhan baharu agrikomoditi.
Lembaga Getah Malaysia akan membangunkan Pusat Kecemerlangan Penyelidikan dengan kos RM600 juta demi kemampanan masa depan industri.
Lembaga Getah Malaysia juga akan melaksanakan program insentif pengeluaran lateks serta pengaktifan ladang getah terbiar.
Anwar membentangkan Belanjawan 2026 dengan peruntukan kerajaan berjumlah RM419.2 billion.
Daripada jumlah tersebut, RM338.2 billion diperuntukkan bagi perbelanjaan mengurus manakala baki RM81 billion sebagai perbelanjaan pembangunan.
Belanjawan yang mengangkat tema ‘Belanjawan MADANI Keempat: Belanjawan Rakyat’ itu merupakan edisi keempat dalam siri Belanjawan MADANI.
Ini merupakan belanjawan pertama di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 2026-2030. – Bernama









