the sun malaysia ipaper logo 150x150
Monday, July 27, 2026
30.6 C
Kuala Lumpur
the sun malaysia ipaper logo 150x150

Wanita mengaku tidak bersalah 28 pertuduhan pecah amanah

BUTTERWORTH: Seorang bekas eksekutif akaun dan pentadbiran mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 28 pertuduhan pecah amanah jenayah melibatkan jumlah lebih RM500,000 sekitar 2022 hingga 2023.

Fatin Atikah Abdul Halim, 35, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Noor Aini Yusof.

Mengikut pertuduhan, wanita berkenaan yang ketika itu bekerja sebagai eksekutif akaun dan pentadbiran di sebuah syarikat reka bentuk dalaman, diamanahkan ke atas harta syarikat iaitu beberapa keping cek berjumlah RM581,492.45 dan dia telah memindahkan wang itu ke dalam akaun bank miliknya menerusi beberapa transaksi.

Kesalahan didakwa dilakukan antara 10 April 2022 hingga 28 Jun 2023 di sebuah premis perniagaan di Jalan Pengkalan, Bukit Tengah, Bukit Mertajam.

Pendakwaan mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara setahun hingga 14 tahun, sebat dan denda, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Syafiq Nasrullah Saleem Ali manakala tertuduh diwakili peguam Ahmad Mukmin Aimi Azmi.

Dalam rayuannya, Ahmad Mukmin Aimi memohon ikat jamin dengan nilai yang munasabah memandangkan suami anak guamnya bekerja sebagai pemandu lori dengan pendapatan RM1,500 sebulan dan mereka mempunyai tiga orang anak kecil.

“Tertuduh juga baru mendapat kerja di sebuah syarikat pembinaan dengan pendapatan RM2,000 sebulan. Selain itu, dia juga perlu menanggung ibu yang sudah tua,“ katanya.

Mahkamah kemudian membenarkan ikat jamin berjumlah RM75,000 untuk semua pertuduhan dan menetapkan 23 Ogos ini sebagai tarikh serahan dokumen.

STAY AHEAD OF THE CURVE

Join our community for instant updates and exclusive content.

Join Telegram Channel

Related


spot_img

Latest News

Most Viewed

spot_img
WC26

World Cup 2026

Updates, Fixtures, Results & Standings