Sultan Nazrin Shah berkenan hadir majlis Deepavali peringkat negeri Perak di Stadium Indera Mulia bersama 10,000 pengunjung pelbagai kaum
IPOH: Sultan Perak Sultan Nazrin Shah serta Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Deepavali Peringkat Negeri Perak di Stadium Indera Mulia.
Turut berangkat Raja Muda Perak Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Di Hilir Perak Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris Shah.
Keberangkatan tiba baginda kira-kira 8.30 malam disambut Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad serta Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional negeri A. Sivanesan.
Majlis anjuran kerajaan negeri itu dimeriahkan dengan kehadiran kira-kira 10,000 pengunjung pelbagai kaum.
Pada majlis itu, Sultan Nazrin turut berkenan menyampaikan sumbangan kepada 70 anak yatim dari beberapa pusat jagaan.
Sementara itu, Saarani dalam sembah ucapannya berkata sambutan Deepavali menjadi titik tolak rakyat bersama-sama membetulkan keadaan, menyalakan semula pelita keinsafan dan kemanusiaan di hati masing-masing.
Beliau menyatakan keprihatinan terhadap insiden jenayah kekerasan yang menamatkan nyawa tanpa belas ihsan.
Saarani turut menyentuh mengenai anak-anak muda yang hilang arah dan mencemarkan institusi pendidikan dengan tingkah laku yang menyesakkan dada.
Beliau berkata masyarakat kian hilang rasa peduli dan tidak lagi menghulur tangan kepada yang susah.
Menteri Besar itu menekankan keperluan rakyat menjadikan nilai kasih sayang sebagai cahaya dan perpaduan sebagai pelitanya.
Beliau menegaskan bahawa negeri dan negara akan terang dengan kedamaian hanya dengan nilai-nilai murni tersebut. – Bernama










