JKKN tonjolkan rebana ubi sebagai warisan utama TMM 2026, fokus pemuliharaan seni muzik tradisional dengan pelapis yang semakin berkurang
KOTA BHARU: Rebana ubi akan dijadikan elemen utama yang ditonjolkan bersempena Tahun Melawat Malaysia 2026 sebagai usaha berterusan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara memelihara dan memulihara seni warisan muzik tradisional tersebut.
Timbalan Ketua Pengarah Dasar dan Perancangan JKKN Rosnan Abdul Rahman berkata rebana ubi bukan sahaja melambangkan keunikan budaya negeri Kelantan yang diwarisi turun-temurun bahkan sarat dengan nilai sejarah dan budaya.
Beliau menyatakan usaha untuk menghidupkan rebana ubi ini telah dilakukan secara konsisten setiap tahun namun kali ini warisan seni muzik tradisional ini difokuskan berikutan pelapis bagi pembuat serta pemainnya semakin berkurang khususnya dalam kalangan generasi muda.
“Di Kelantan setakat ini hanya terdapat sekitar 10 hingga 12 pembuat rebana ubi daripada pelapis muda,” katanya kepada pemberita pada Majlis Pemerkasaan dan Pemuliharaan Rebana Ubi dan Majlis Sambutan Penerbangan Sulung Scoot di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra.
Rosnan menambah mereka akan mengetengahkan seni muzik ini termasuk beberapa kesenian warisan lain seperti Mak Yong, Mek Mulung, Dondang Sayang dan lain-lain pada TMM 2026.
Malaysia Airports Holdings Berhad telah menyerahkan sumbangan bernilai 140,000 ringgit kepada Persatuan Kebudayaan Kesenian Awang Selamat untuk menaik taraf bengkel, membeli peralatan serta melaksanakan program perintis pemuliharaan seni rebana ubi.
Rosnan berkata pihaknya juga menyeru pihak swasta serta sektor korporat untuk bersama-sama mengangkat kesenian warisan negara bukan sahaja rebana ubi tapi warisan seni muzik lain agar ia dapat diperkasakan dan tidak terkubur ditelan oleh arus pemodenan.
“Inisiatif oleh MAHB ini sangat baik dan ia harus dicontohi oleh pihak swasta dan korporat lain,” ujarnya.
Beliau menyatakan harapan dengan adanya inisiatif ini dapat menambah jumlah pelapis pembuat rebana ubi memandangkan perlu ada kemahiran tersendiri.
Rosnan menekankan generasi muda yang berminat perlu merebut peluang untuk menimba ilmu di bengkel rebana ubi ini bersama tokoh pembuat rebana ubi Mohd Noor Zakaria yang akan memberi tunjuk ajar.
Bengkel pembelajaran kesenian muzik ini juga boleh dilakukan secara bulanan untuk pelajar universiti khususnya mereka daripada aliran seni mahu pun muzik menurut beliau. – Bernama










