the sun malaysia ipaper logo 150x150
Thursday, July 2, 2026
31.7 C
Kuala Lumpur
the sun malaysia ipaper logo 150x150

Arthur: Agrobank main peranan penting bantu perkukuh ekosistem agromakanan

KENINGAU: Agrobank memainkan peranan penting dalam membantu memperkukuh ekosistem agromakanan melalui pelbagai inisiatif dan perkhidmatan yang ditawarkan kepada peladang, penternak, nelayan serta pemain industri itu.

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Arthur Joseph Kurup (gambar) berkata sebagai bank pembangunan, Agrobank dipertanggungjawab dalam memperkukuh keterjaminan makanan melalui aktiviti penawaran pembiayaan.

Beliau berkata Agrobank menawarkan pembiayaan bukan sahaja untuk pertanian malah setiap aktiviti dalam rantaian nilai sektor itu sejajar dengan aspirasi Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan secara am serta kerajaan khususnya.

”Kesimpulannya, Agrobank memainkan peranan penting dalam membantu ekosistem agromakanan dengan menyediakan pembiayaan, sokongan perniagaan, khidmat konsultasi, rangkaian industri dan sokongan inovasi.

“Ini membantu menyokong perkembangan sektor agromakanan serta pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan masyarakat luar bandar,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Kempen Sambutan Tahun Baharu Cina Agrobank 2024 di sini malam ini.

Majlis itu, yang turut dihadiri Ketua Pegawai Operasi Agrobank Zahid Ahmad Zawawi, menyaksikan Arthur melancarkan reka bentuk terbaharu kad debit bank berkenaan iaitu Agro Debit-i.

Arthur berkata Agrobank bukan sahaja menyediakan pembiayaan malah melengkapkan para usahawan dengan kemahiran melalui Pusat Kecemerlangan Agrobank (ACE) di mana pengetahuan dari segi latihan dan bimbingan teknikal serta seni keusahawanan dibekalkan daripada pakar industri.

Beliau yakin pelancaran kempen secara rasmi malam ini mampu menaikkan semangat teruja para usahawan tani untuk mempertingkat penggunaan transaksi tanpa tunai dan menambah deposit simpanan.

“Bagi para usahawan pula, khususnya sektor pertanian, rebutlah peluang ini untuk mengembangkan perniagaan anda agar terus kekal bersaing dan sejajar dengan pelan Tindakan Dasar Sekuriti Makanan Negara untuk memperkukuh keterjaminan makanan negara,” katanya.

Arthur juga berkata Agrobank menawarkan RM888 untuk 50 pelanggan bertuah menerusi kempen Heng Loong Huat dengan objektif menggalakkan mereka membuat pembayaran bebas tunai melalui penggunaan Agro Debit-i sempena kempen Tahun Baharu Cina.

“Inisiatif ini bukan yang pertama untuk Agrobank kerana mereka telah banyak melancarkan kempen seumpama ini dan yang paling menarik adalah tawaran kereta mewah Tesla menerusi kempen Mega Million Agrobank yang bakal berakhir hujung September tahun ini,“ katanya. –Bernama

STAY AHEAD OF THE CURVE

Join our community for instant updates and exclusive content.

Join Telegram Channel

Related


spot_img

Latest News

Most Viewed

spot_img
WC26

World Cup 2026

Updates, Fixtures, Results & Standings