the sun malaysia ipaper logo 150x150
Wednesday, June 24, 2026
21 C
Malaysia
the sun malaysia ipaper logo 150x150

Kes halang anggota MBPJ tangkap anjing liar: Warga emas akan kemuka representasi

PETALING JAYA: Seorang lelaki warga emas akan mengemukakan representasi bagi menggugurkan pertuduhan menghalang penjawat awam dalam operasi penangkapan anjing liar oleh Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) yang dihadapinya di Mahkamah Majistret di sini.

Peguam Rajsurian Pillai mewakili Patrick Khoo Kian Wui, 69, memaklumkan kepada Majistret Shahril Anuar Ahmad Mustapa bahawa pihaknya akan menghantar representasi memandangkan pihak pendakwaan mahu meneruskan kes itu.

“Pihak pendakwaan hari ini memaklumkan bahawa pengadu telah menarik balik laporan dan rakaman percakapan mengenai penarikan itu telah direkodkan.

“Namun, pihak pendakwaan menerima arahan untuk meneruskan kes berkenaan. Oleh itu, pihak kami akan menghantar representasi,” katanya yang hadir bersama seorang lagi peguam, Tay Chee Fu.

Mahkamah kemudian menetapkan sebutan kes itu pada 22 Dis ini untuk penyerahan dokumen.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Sofea Jaysal dan Khoo dilihat hadir ke mahkamah dengan berkerusi roda kerana mengalami masalah kesihatan.

Pada 31 Mac lepas, Khoo, yang bekerja sendiri mengaku tidak bersalah atas pertuduhan dengan sengaja menghalang anggota MBPJ Azizul Azzim Norehan daripada menjalankan tugasnya di sebuah rumah di Taman Kanagapuram di sini, pada 9 malam, 22 Mac lepas.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pada 24 Mac lepas, media melaporkan pihak polis menjalankan siasatan terhadap sebuah rakaman kamera litar tertutup yang tular memaparkan insiden pergelutan antara anggota MBPJ dengan seorang lelaki semasa operasi menangkap anjing liar.

Lelaki itu dikatakan cuba melindungi kumpulan anjing liar dengan memasukkan haiwan itu ke dalam premisnya, menyebabkan pasukan penangkap anjing cuba menghalang tindakannya sebelum berlaku pergelutan. – Bernama

STAY AHEAD OF THE CURVE

Join our community for instant updates and exclusive content.

Join Telegram Channel

Related


spot_img

Latest News

Politics not key factor for foreign investors, says MITI

Malaysia’s investment performance shows political speculation is not the main driver for foreign investors, says MITI, citing RM1.7 trillion in approved investments from 2021 to 2025.

Most Viewed

spot_img
WC26

World Cup 2026

Updates, Fixtures, Results & Standings