the sun malaysia ipaper logo 150x150
Monday, June 29, 2026
26.9 C
Kuala Lumpur
the sun malaysia ipaper logo 150x150

Konflik Sudan: Dua rakyat M’sia berjaya dipindahkan ke lokasi selamat – Zambry

KUALA LUMPUR: Dua rakyat Malaysia yang berada di Sudan telah dibawa keluar dari tempat mereka dan dipindahkan ke lokasi selamat, kata Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Beliau berkata operasi pemindahan berkenaan adalah sebagai langkah persediaan Kedutaan Malaysia di Khartoum, Sudan untuk mengumpul rakyat Malaysia di satu lokasi yang selamat bagi proses pemindahan keluar dari Khartoum kelak.

“Alhamdulillah, semalam, setelah membuat penilaian yang mendalam dan dengan mandat daripada Pasukan Khas Wisma Putra, pegawai Kedutaan Besar kita di Khartoum telah berjaya membawa keluar dua rakyat Malaysia dari tempat mereka ke lokasi selamat.

“Dalam operasi berkenaan, pegawai kita turut membantu membawa dua warga Kanada, satu warga Amerika Syarikat dan dua warga United Kingdom dari kawasan berkenaan,“ katanya dalam satu kenyataan.

Zambry berkata meskipun operasi berkenaan amat berisiko tinggi, namun ia perlu dilaksanakan bagi menjamin keselamatan rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan.

Situasi di Sudan terutama di kebanyakan lokasi di ibu negara Khartoum semakin meruncing sepanjang masa dengan pertempuran antara Tentera Sudan (SAF) dan Rapid Support Forces (RSF).

Mengulas lanjut, Zambry berkata situasi di Sudan amat kompleks dan ia berubah setiap masa dengan kedua-dua pihak yang bertelagah masih meneruskan pertempuran.

Katanya, gencatan senjata yang diusulkan beberapa kali oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Kesatuan Afrika (AU), Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Amerika Syarikat langsung tidak dipatuhi.

“Marilah kita memanjatkan doa dan memohon kepada Yang Maha Esa untuk menjaga dan melindungi keselamatan rakyat kita di Sudan dan operasi membawa mereka pulang ke tanah air dipermudahkan-Nya,“ katanya. -Bernama

STAY AHEAD OF THE CURVE

Join our community for instant updates and exclusive content.

Join Telegram Channel

Related


spot_img

Latest News

Most Viewed

spot_img
WC26

World Cup 2026

Updates, Fixtures, Results & Standings