the sun malaysia ipaper logo 150x150
Wednesday, June 24, 2026
21.3 C
Malaysia
the sun malaysia ipaper logo 150x150

Pengurangan subsidi T20 pastikan pendapatan negara cukup untuk pembangunan masa depan

KUALA LUMPUR: Pengurangan subsidi kerajaan kepada golongan kaya atau mereka yang berpendapatan tinggi (T20) akan memastikan negara mempunyai pendapatan yang mencukupi bagi pelaburan masa hadapan.

Penganalisis Ekonomi Putra Business School, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Ahmed Razman Abd Latiff berkata pelaburan ini termasuklah meningkatkan peruntukan bagi membangunkan infrastruktur sekolah, hospital dan jalan raya, meningkatkan kemahiran pekerjaan serta meluaskan capaian Internet di kawasan luar bandar.

Katanya pembangunan ini mesti dilakukan bagi menambah daya tarikan dalam kalangan pelabur asing dan syarikat antarabangsa untuk membuat pelaburan dalam negara, seterusnya membolehkan Malaysia mencapai sasaran menjadi negara maju.

“Jika pengurangan subsidi dilaksanakan, banyak penjimatan boleh dibuat. Macam subsidi untuk tarif elektrik, kerajaan mungkin boleh jimat kira-kira RM4 bilion manakala bagi subsidi petrol (RM15 bilion).

“… dengan penjimatan sebanyak itu, akan ada peruntukan bagi maksud membangunkan infrastruktur pendidikan, meningkatkan kemahiran atau meluaskan capaian Internet kepada rakyat dan saya tidak lihat ia akan digunakan oleh kerajaan untuk memberikan bantuan tunai semata-mata seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR),” katanya kepada Bernama.

Beliau mengulas kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Isnin yang memaklumkan bahawa adalah tidak munasabah untuk kerajaan meneruskan subsidi seperti kos mengerjakan haji dan elektrik kepada golongan T20, kerana sekurang-kurangnya 40 peratus daripada subsidi yang disalurkan kerajaan kepada orang miskin sebelum ini turut dinikmati oleh golongan terbabit.

Mengulas lanjut, Ahmed Razman berkata penarikan subsidi kepada golongan T20 juga adalah langkah untuk memastikan tiada mereka yang berterusan menjadi kaya, lebih-lebih lagi apabila cukai pendapatan individu yang dikenakan terhadap mereka hanya 30 peratus, lebih rendah daripada kadar di Thailand, Indonesia dan Vietnam.

Menurut pakar ekonomi Universiti Kuala Lumpur (UniKL) Business School, Prof Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid pula, pengurangan subsidi kepada golongan T20 adalah cara paling berkesan untuk mengurangkan beban kewangan kerajaan, sekali gus membolehkannya mencapai sasaran pertumbuhan.

Katanya amalan semasa kerajaan yang memberikan subsidi secara tidak bersasar, tidak banyak membantu rakyat terutama berpendapatan rendah kerana turut dinikmati golongan kaya sedangkan mereka mempunyai kuasa beli yang lebih tinggi dalam keseluruhan segmen pengguna.

“Pada 2022, peruntukan untuk perbelanjaan subsidi hampir RM80 bilion, melebihi peruntukan pembangunan negara dengan komponen terbesarnya adalah untuk subsidi bahan api.

“Ini sudah tentu membebankan bajet kerajaan, justeru diharapkan ia akan diuruskan dengan lebih baik apabila Hab Pangkalan Data Pusat (PADU) dilaksanakan pada Januari depan kerana melaluinya, kerajaan akan dapat memahami kumpulan sasaran yang benar-benar memerlukan subsidi,” katanya.

Sementara itu, pemandu e-panggilan Mohd Haikal Adam, 35, menyifatkan kerajaan melakukan langkah yang betul dalam melaksanakan inisiatif pembaharuan itu terutama ketika ia mahu memberi keadilan kepada semua golongan pendapatan pasca pandemik Covid-19.

“Pelaksanaannya mesti dilakukan secara teliti supaya tidak mewujudkan kesan kepada kehidupan rakyat seperti kenaikan harga barang serta kos sara hidup. Ia juga patut berupaya menghalang pihak tertentu daripada mewujudkan mekanisme untuk mendapatkan juga subsidi itu walaupun tidak layak,” katanya. – Bernama

STAY AHEAD OF THE CURVE

Join our community for instant updates and exclusive content.

Join Telegram Channel

Related


spot_img

Latest News

Politics not key factor for foreign investors, says MITI

Malaysia’s investment performance shows political speculation is not the main driver for foreign investors, says MITI, citing RM1.7 trillion in approved investments from 2021 to 2025.

Most Viewed

spot_img
WC26

World Cup 2026

Updates, Fixtures, Results & Standings