KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan jenayah menurut undang-undang yang sedang berkuat kuasa terhadap mana-mana pihak termasuk warganegara Malaysia yang memberikan sebarang sokongan, bantuan atau bersekongkol dengan penuntut kumpulan Sulu.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah memulakan siasatan terhadap penuntut Sulu, penimbang tara, peguam serta pihak-pihak lain yang berkaitan di bawah Seksyen 124K Kanun Keseksaan bagi kesalahan sabotaj.
“Kerajaan Malaysia juga akan terus membantah sebarang bentuk pembiayaan oleh pihak ketiga, yang menyokong penyalahgunaan proses yang telah dimulakan oleh pihak yang membuat tuntutan,“ kata beliau.
Anwar berkata demikian ketika memberi penerangan mengenai tuntutan daripada lapan warga Filipina yang mendakwa kononnya sebagai waris Sultan Sulu terhadap kerajaan Malaysia pada Persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Perdana Menteri juga berpendirian bahawa semua award yang dikeluarkan Dr Gonzalo Stampa (penimbang tara) telah melanggar prinsip polisi awam antarabangsa kerana ia melibatkan pelanggaran prinsip “kekebalan diplomatik”, “kekebalan bidang kuasa” dan kedaulatan.
Anwar berkata perkara itu melibatkan soal kepentingan dan kedaulatan Malaysia, Sabah dan rakyat Malaysia keseluruhannya, justeru Kerajaan Malaysia akan terus mara dan berjuang habis-habisan demi memelihara dan melindungi kepentingan dan kedaulatan negara.
“Saya juga menyeru rakyat Malaysia berganding bahu dalam usaha Kerajaan Perpaduan MADANI dalam menamatkan sama sekali, tuntutan Sulu yang tidak berasas ini,” katanya.
Beliau berkata setakat ini, penuntut Sulu telah mengambil tindakan undang-undang terhadap Malaysia di empat buah negara iaitu Sepanyol, Perancis, Luxembourg dan Belanda dan Kerajaan Malaysia telah dan sedang mengambil pelbagai tindakan balas perundangan terhadap mereka.
Perdana Menteri menegaskan hasil daripada usaha giat tersebut, Kerajaan Malaysia pada 6 Jun lepas telah menerima satu lagi berita baik apabila Mahkamah Rayuan Perancis membuat keputusan membatalkan Perintah Pelaksanaan yang dikeluarkan oleh Mahkamah Paris pada 29 Sept 2021 yang mengiktiraf Preliminary Award yang dikeluarkan oleh Dr Gonzalo Stampa pada 25 Mei 2020.
Katanya keputusan Mahkamah Rayuan Perancis itu satu kejayaan penting dan signifikan bagi Malaysia sekali gus membuktikan kesungguhan serta ketegasan Kerajaan Malaysia dalam mendepani isu itu.
Perdana Menteri berkata kesan keputusan tersebut ialah pihak yang membuat tuntutan tidak boleh bergantung kepada Preliminary Award yang dikeluarkan Stampa di Madrid, Sepanyol yang menyatakan bahawa Stampa mempunyai bidang kuasa untuk mendengar tuntutan itu.
Berita lanjut akan menyusul. – Bernama








