the sun malaysia ipaper logo 150x150
Monday, June 22, 2026
21.7 C
Malaysia
the sun malaysia ipaper logo 150x150

Beri pinjaman wang tanpa lesen, tiga individu termasuk dua beranak didakwa

ALOR GAJAH: Seorang wanita dan anak perempuannya mengaku tidak bersalah di dua mahkamah di sini hari ini atas pertuduhan berhubung perniagaan pemberi pinjaman wang tanpa lesen sah.

P. Devani, 53, didakwa melakukan perbuatan itu dengan memberi pinjaman sebanyak RM4,000 berserta faedah sebanyak RM8,950 kepada dua pengawal keselamatan tanpa lesen sah di Taman Pengkalan Indah di sini antara Julai 2022 hingga Mac 2023.

Pertuduhan mengikut Seksyen 5 (2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda tidak melebihi RM1 juta atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Hakim Mahkamah Sesyen Nariman Badruddin membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 berserta syarat tambahan dilarang mengganggu mangsa dan menetapkan 10 Julai depan untuk sebutan semula kes.

Anak perempuannya, M. Thachini, 25, didakwa atas pertuduhan membantu pemberi pinjam wang tanpa lesen menjalankan aktiviti pinjaman wang, dengan membenarkan akaun bank miliknya digunakan dalam aktiviti tersebut di lokasi dan tarikh sama.

Dia didakwa mengikut Seksyen 29AA akta sama yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum dua tahun atau didenda sehingga RM20,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Majistret Nurul Bahiyah Kamaluddin membenarkan Thachini diikat jamin RM5,000 dan dilarang mengganggu mangsa sehingga kes selesai dan menetapkan 10 Julai depan untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Anis Najwa Nazari dan Pegawai Pendakwa Inspektor V. Somsundram manakala kedua-dua beranak itu tidak diwakili peguam.

Sementara itu, di Mahkamah Sesyen George Town, Pulai Pinang, Lee Jeng Loon, 38, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menjalankan perniagaan memberi pinjaman wang tanpa lesen sah dengan meminjamkan wang kepada seorang individu di sebuah premis di Lebuh Nordin George Town pada Mei 2021, mengikut Seksyen 5 (2) akta sama.

Hakim Mazdi Abdul Hamid membenarkan Lee diikat jamin RM50,000 dan menyerahkan pasport kepada mahkamah selain tidak mengganggu saksi pendakwaan serta melaporkan diri sebulan sekali di balai polis berdekatan sehingga kes selesai. 11 Julai ditetapkan untuk sebutan kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Natalie Chew Qi Wei manakala tertuduh diwakili peguam Hairul Alif Hairul Azam. – Bernama

STAY AHEAD OF THE CURVE

Join our community for instant updates and exclusive content.

Join Telegram Channel

Related


spot_img

Latest News

Most Viewed

spot_img
WC26

World Cup 2026

Updates, Fixtures, Results & Standings