the sun malaysia ipaper logo 150x150
Friday, July 3, 2026
27.5 C
Kuala Lumpur
the sun malaysia ipaper logo 150x150

Tetapkan harga tiket penerbangan musim perayaan Sabah, Sarawak berasaskan CSR: Ahmad Zahid

PAPAR: Syarikat penerbangan wajar menetapkan harga tiket penerbangan musim perayaan Sabah dan Sarawak berdasarkan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) dan bukan permintaan dan penawaran semata-mata, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (gambar).

Beliau berkata isu harga tiket penerbangan yang mahal itu telah dibincangkan pada peringkat Jemaah Menteri dan pelbagai usaha dilakukan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kerajaan Persekutuan bagi mengatasi masalah itu.

“Menteri Pengangkutan (Anthony Loke) telah berbincang dengan syarikat penerbangan supaya tidak menggunakan asas terhadap tiket penerbangan ini mengikut permintaan dan penawaran tetapi mesti ada unsur CSR kepadanya.

“Kita harap semasa perayaan mendatang, perkara ini diatasi segera dan kami amat prihatin terhadap masalah dihadapi terutama kos penerbangan rakyat Sabah dan Sarawak bekerja di Semenanjung. Kita akan lihat pada Pesta Kaamatan dan Hari Gawai nanti supaya masalah ini tidak timbul lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri majlis ramah mesra MRSM Kota Kinabalu di sini yang kini dikenali MRSM Tan Sri Musa Aman, dan turut dihadiri Pengerusi MARA Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Ahmad Zahid berkata selain itu, mewujudkan syarikat penerbangan butik yang menghubungkan Semenanjung, Sabah dan Sarawak juga merupakan antara langkah yang mampu memastikan harga tiket penerbangan itu berada dalam kadar berpatutan.

Ditanya tentang cadangan Timbalan Ketua Menteri Sabah I Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan berhubung mewujudkan Autoriti Penerbangan Awam Borneo bagi mengawal selia industri penerbangan di Sabah dan Sarawak, beliau berkata perkara itu diharap dapat dibawa kepada perbincangan Jemaah Menteri.

“Berkaitan isu ini, saya harap menteri yang bertanggungjawab bagi Sabah dan Sarawak (Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) Datuk Armizan Mohd Ali) yang juga Ahli Parlimen Papar akan membawa isu ini ke Kabinet,” katanya.

Di Kota Kinabalu, ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Badan Perhubungan Umno Sabah di perkarangan bangunan parti itu hari ini, Ahmad Zahid menzahirkan keprihatinan terhadap rungutan rakyat Sabah dan Sarawak berhubung isu tiket penerbangan mahal itu.

Katanya beliau telah mendengar rungutan rakyat dari kedua-dua negeri berkenaan yang terpaksa pulang ke kampung halaman masing-masing bagi menyambut Aidilfitri dengan tambang penerbangan mahal.

“Maka dalam hal ini, kita harap ia akan dapat memberi kemudahan dan memberi peluang kepada kumpulan B40 dan M40 yang mempunyai kewangan sangat terhad. Walaupun ada berkemampuan tetapi ada tanggungan dan banyak perbelanjaan dikeluarkan.

“Beri peluang kepada mereka untuk pulang ke kampung halaman di Sabah dan Sarawak dengan tambang murah,“ katanya yang meminta Kementerian Pengangkutan memberikan perhatian terhadap isu tersebut terutama ketika perayaan Pesta Kaamatan dan Hari Gawai yang bakal tiba tidak lama lagi. – Bernama

STAY AHEAD OF THE CURVE

Join our community for instant updates and exclusive content.

Join Telegram Channel

Related


spot_img

Latest News

Bora Pharmaceuticals Completes Acquisition of MacroGenics’ Rockville Manufacturing Operations

TAIPEI, TAIWAN - Media OutReach Newswire - 2 July 2026 - Bora Pharmaceuticals Co., Ltd. ("Bora" or "Bora Group"; TWSE: 6472; OTCQX: BORAY) today announced the completion of its acquisition of the GMP manufacturing operations of MacroGenics, Inc. (NASDAQ: MGNX) including its biologics drug substance facility in Rockville, Maryland and an associated warehousing center in Frederick, Maryland, for total consideration of US $122.5 million through its wholly owned subsidiary Bora Biologics USA, LLC.. Upon closing, Bora signed a long-term CDMO Service Agreement with MacroGenics.

Most Viewed

spot_img
WC26

World Cup 2026

Updates, Fixtures, Results & Standings