the sun malaysia ipaper logo 150x150
Monday, June 22, 2026
25.6 C
Malaysia
the sun malaysia ipaper logo 150x150

Pembantu restoran dipenjara sebulan, didenda kerana cabul, tunjuk kemaluan

KUALA LUMPUR: Seorang pembantu restoran dipenjara sebulan dan didenda RM6,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah mencabul kehormatan seorang wanita dan menunjukkan kemaluannya kepada seorang lagi wanita, Oktober lepas.

Majistret Nurul Izzah Shaharuddin menjatuhkan hukuman penjara sebulan dan denda RM3,000 ke atas Yap Jian Sheng, 24, kerana mencabul seorang wanita berusia 27 tahun di sebuah kediaman di Kepong pada 2 pagi, 14 Okt lepas.

Pertuduhan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada seksaan itu.

Lelaki itu juga didenda RM3,000 kerana mendatangkan kegusaran terhadap seorang wanita berusia 26 tahun dengan menunjukkan kemaluannya di lokasi sama pada 1.30 pagi, 19 Okt lepas, mengikut pertuduhan di bawah Seksyen 294 (a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tiga bulan atau denda atau kedua-duanya.

Bagaimanapun, mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkap, 20 Dis lepas dan dipenjara tiga minggu sekiranya gagal membayar denda RM6,000 itu.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nur Diana Mohamad Saad memohon hukuman berat dikenakan terhadap tertuduh mengambil kira trauma yang dialami kedua-dua mangsa.

Yap, yang masih bujang dan tidak diwakili peguam, merayu hukuman ringan atas alasan dia penanggung utama keluarga yang menjaga ibu dan bapanya.

Sementara itu di Mahkamah Sesyen, Yap mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan melakukan amang seksual terhadap seorang remaja perempuan berumur 13 tahun pada pukul 8.30 malam, 25 Nov lepas dan seorang lagi remaja perempuan berusia16 tahun pada pukul 6.30 petang, 11 Okt lepas, kedua-duanya di lokasi sama di Kepong.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan serta Seksyen 15 (a) (i) akta sama membawa hukuman penjara tidak melebihi 10 tahun atau denda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Julaila Jamaludin tidak menawarkan jaminan dengan alasan tertuduh akan mendatangkan risiko kepada masyarakat, namun Yap merayu diberikan ikat jamin.

Selepas mendengar permohonan kedua-dua pihak, Hakim Tasnim Abu Bakar tidak menetapkan sebarang jaminan dan 31 Jan 2023 ditetapkan untuk sebutan semula kes. – Bernama

STAY AHEAD OF THE CURVE

Join our community for instant updates and exclusive content.

Join Telegram Channel

Related


spot_img

Latest News

Most Viewed

spot_img
WC26

World Cup 2026

Updates, Fixtures, Results & Standings