Thursday, October 30, 2025
29.3 C
Malaysia
spot_img

Pasangan kekasih didakwa rompak barang kemas RM5.755 juta di Pasir Mas

The Sun Webdesk

Sepasang kekasih mengaku tidak bersalah di mahkamah atas pertuduhan merompak barang kemas bernilai RM5.755 juta dari kedai pajak gadai di Pasir Mas

PASIR MAS: Sepasang kekasih mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan merompak barang kemas di sebuah kedai pajak gadai dianggarkan bernilai RM5.755 juta.

Wee Chin Ooi, 49, dan Wee Fei Fang, 47, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Syed Farid Syed Ali selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan.

Chin Ooi didakwa merompak barang kemas itu dengan menggunakan sebilah pisau terhadap seorang wanita di sebuah kedai pajak gadai di sini pada 1 tengah hari 21 Oktober.

Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan dibaca bersama-sama Seksyen 397 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan boleh disebat atau denda.

Fei Fang didakwa bersubahat dengan teman lelakinya melakukan rompakan itu di lokasi serta pada masa dan tarikh sama.

Pertuduhan terhadap Fei Fang dibuat mengikut Seksyen 392 dibaca bersama-sama Seksyen 397 dan Seksyen 109 kanun sama.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Aiysha Na’ilah Harizan manakala peguam M.K Maalinn mewakili pasangan tersebut.

Mahkamah tidak membenarkan jaminan terhadap mereka dan menetapkan sebutan semula kes pada 6 November untuk serahan dokumen.

Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat sebelum ini mengesahkan polis menahan seorang pengurus kedai pajak gadai dan teman lelakinya kerana dipercayai menjadi dalang rompakan barang kemas seberat 10.9 kilogram. – Bernama

Related

spot_img

Latest

Most Viewed

spot_img

Popular Categories

spot_imgspot_img