MELAKA: Taman Rama-rama dan Reptilia Melaka kembali membiakkan rama-rama jenis Idea Lynceus, selepas hampir setahun kajiannya dihentikan berikutan kekurangan dana akibat ketiadaan pengunjung berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Pengurus taman berkenaan, Qurratu A’in Rohaminordin berkata pusat konservasi itu kembali membiakkan rama-rama daripada keluarga Danaidae itu pada Februari lepas selepas kerajaan membuka semula sektor ekonomi.
“Selepas kajian selama 16 tahun itu dihentikan pada Mac tahun lepas, kami membiarkan spesies berkenaan bertahan sendiri di dalam pusat kajian. Ketika itu terdapat kira-kira 10 ekor sahaja rama-rama jenis berkenaan.
“Apabila pusat konservasi ini kembali dibuka kepada umum, kami mengumpul modal untuk memulakan kajian dan perkara pertama yang dilakukan adalah menanam kembali sejenis pokok renek dari jenis Agnosma sp, yang juga sukar untuk dibiakkan walaupun berada dalam persekitaran terkawal, sebagai perumah kepada rama-rama itu,“ katanya.
Beliau berkata demikian kepada Bernama selepas kursus fotografi anjuran Unit Foto Bernama di pusat konservasi berkenaan, yang dihadiri Ketua Jurufoto Zid Omar dan petugas dari Zon Selatan membabitkan Melaka, Negeri Sembilan dan Johor.
Qurratu A’in berkata ketika ini pihaknya mempunyai 50 ekor Idea lynceus dan 80 kepompong yang dibiakkan dalam suasana terkawal berikutan jangka hayat rama-rama itu hanya dua minggu.
“Kita bersyukur kerana dapat kembali memulakan kajian terhadap rama-rama ini. Walaupun tidak dapat membiakkan Idea Lynceus seperti jumlah sebelumnya, ia adalah satu permulaan yang baik untuk kami.
“Jika jumlah rama-rama ini bertambah banyak, kami akan melepaskan sebahagiannya ke habitat asal supaya ekosistem alam semula jadi dapat berfungsi dengan lebih baik.
“Kita juga berhasrat untuk membuat satu pusat konservasi khusus untuk rama-rama jenis ini bermula tahun depan,“ katanya.-Bernama









