Wanita warga emas berusia 77 tahun yang hilang sejak Selasa lepas ditemui meninggal dunia dalam parit di kebun pisang Bagan Datuk.
HUTAN MELINTANG: Seorang wanita warga emas yang dilaporkan hilang sejak Selasa lepas telah ditemui meninggal dunia pagi tadi dalam parit di kebun pisang.
Mangsa berusia 77 tahun itu ditemui di Kampung Teluk Kerdu, Hutan Melintang berhampiran Bagan Datuk.
Pemangku Ketua Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Perak Shazlean Mohd Hanafiah mengesahkan penemuan mayat Halimah Idris pada pukul 10.50 pagi.
Beliau menyatakan mangsa yang dikatakan mempunyai masalah ingatan ditemui selepas operasi mencari dan menyelamat disambung semula pagi tadi.
Operasi pencarian melibatkan pelbagai agensi bermula pukul 9 pagi di sektor A dan B.
Pasukan mencari mengikuti jejak terakhir mangsa dalam radius 5 kilometer ke persisir sungai.
Kaedah sweep search dan teknik LAST diaplikasikan dalam operasi tersebut.
Mangsa akhirnya dijumpai oleh pasukan SAR di sektor B iaitu di dalam parit di kebun pisang.
Pihak Kementerian Kesihatan yang berada di lokasi mengesahkan kematian mangsa.
Mayat kemudian dikeluarkan dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Operasi SAR sebelum ini digerakkan untuk mencari Halimah yang hilang dalam kawasan kebun sawit dan pisang.
Mangsa dipercayai kali terakhir dilihat keluarga dan penduduk kampung pada pukul 4 petang di kawasan berhampiran rumahnya. – Bernama










