Seorang lelaki mengaku bersalah menikam perut pekebun sehingga cedera parah di Kuantan, menghadapi hukuman penjara sehingga 20 tahun.
KUANTAN: Seorang penganggur mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menyebabkan kecederaan parah terhadap seorang pekebun.
Jabalul Akhir Mat Shafie, 25, didakwa menikam bahagian perut Nik Zuraidi Mohamed, 38, menggunakan senjata sehingga menyebabkan kecederaan yang boleh mengakibatkan kematian.
Kejadian berlaku di Jalan Bakti, Kampung Sri Damai Batu 7, Jalan Gambang pada 6.40 petang 31 Oktober lepas.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebatan.
Timbalan Pendakwa Raya Azizah Ahmad mencadangkan mahkamah tidak mengenakan jaminan terhadap tertuduh yang tidak diwakili peguam.
Hakim Sazlina Safie tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 12 November untuk sebutan semula kes bagi menjatuhkan hukuman.
Pada Sabtu lepas, media melaporkan seorang pekebun cedera di perut akibat ditikam kenalannya di kawasan perumahan Kampung Sri Damai. – Bernama









