Kerajaan berjaya tingkatkan kerencaman ekonomi negara
KUALA LUMPUR: Usaha kerajaan untuk meningkatkan kerencaman ekonomi negara telah mencapai kejayaan berdasarkan prestasi sektor ekonomi berdaya saing pada suku ketiga tahun ini.
Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata semua sektor ekonomi menunjukkan perkembangan rancak pada suku ketiga.
Beliau merujuk kepada unjuran awal pertumbuhan ekonomi 5.2 peratus bagi keluaran dalam negeri kasar yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia.
“Negara kita masih ada daya tahan dalam ekonominya kalau kita lihat dari segi kepelbagaian segmen ekonomi yang kita ada,” katanya.
Amir Hamzah yang juga memangku tugas Menteri Ekonomi berkata unjuran awal itu menunjukkan pertumbuhan ekonomi berdaya saing dalam persekitaran ekonomi dunia yang mencabar.
Beliau memberi contoh sektor pembinaan diunjur berkembang sebanyak 11 peratus manakala penggunaan swasta melebihi lima peratus.
Sektor perlombongan pula dijangka berkembang melebihi 10 peratus.
“Daripada segi pasaran yang kita ada juga terdapat kepelbagaian dan kita tidak bergantung kepada hanya satu pasaran,” jelasnya.
Beliau berkata demikian pada sidang media pelancaran Program Innovathon musim ketiga anjuran Kementerian Ekonomi. – Bernama






