Seorang pembantu kedai wanita cedera dan kehilangan rantai emas bernilai RM15,000 selepas disamun lelaki bertopi keledar di Jertih
JERTIH: Seorang pembantu kedai wanita mengalami kejadian cemas apabila disamun seorang lelaki di tempat kerjanya di bandar Jertih petang semalam.
Mangsa berusia 20 tahun mengalami kecederaan calar pada tangan dan leher semasa kejadian jam 6.50 petang itu.
Dua utas rantai tangan dan seutas rantai leher emas yang dipakainya dirampas secara paksa oleh suspek.
Kerugian dianggarkan mencecah RM15,000 akibat kejadian tersebut.
Ketua Polis Daerah Besut Supt Azamuddin Ahmad berkata mangsa membuat laporan polis pada jam 8.10 malam.
“Mangsa memberitahu ketika dia berada di tempat kerjanya iaitu sebuah premis kedai pakaian, tiba-tiba datang seorang lelaki tidak dikenali yang memakai topi keledar warna biru dan jaket berwarna coklat,” katanya.
Suspek terus mengambil barang kemas yang dipakai mangsa sebelum melarikan diri dari lokasi kejadian.
Polis masih giat menjalankan siasatan untuk mengesan suspek yang terlibat.
“Sebarang maklumat berkaitan suspek boleh disalurkan kepada pegawai penyiasat kes iaitu Inspektor Nurazam Rapail di talian 09-695 6222 sambungan 5913,” ujar Azamuddin.
Kes ini disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 14 tahun dan boleh dirotan.
Rakaman kamera litar tertutup berdurasi kira-kira satu minit telah tular di media sosial memaparkan detik kejadian.
Rakaman menunjukkan seorang lelaki memakai topi keledar masuk ke dalam premis pakaian sebelum bertindak menyamun mangsa. – Bernama






