Monsun Timur Laut 2025/2026 dijangka bermula Khamis ini dengan 5-7 episod hujan lebat berterusan, berisiko banjir dan laut bergelora
KUALA LUMPUR: Monsun Timur Laut (MTL) 2025/2026 dijangka bermula Khamis ini (13 Nov) dan berterusan sehingga Mac tahun depan dengan lima hingga tujuh episod hujan lebat berterusan diramal berlaku sepanjang tempoh tersebut.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Dr Mohd Hisham Mohd Anip, memaklumkan hujan lebat berterusan selama beberapa hari boleh menyebabkan banjir di kawasan berhampiran sungai serta kawasan rendah.
“Tiupan angin timur laut secara berterusan dan kencang boleh menyebabkan laut bergelora dan risiko kenaikan paras laut di perairan Laut China Selatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau menasihati orang ramai supaya bersiap sedia menghadapi kemungkinan episod hujan lebat sepanjang monsun dengan sentiasa memantau maklumat, nasihat, ramalan dan amaran cuaca yang dikeluarkan melalui laman web rasmi MetMalaysia, aplikasi myCuaca, media sosial agensi itu, atau talian hotline 1-300-22-1638. – Bernama






