the sun malaysia ipaper logo 150x150
Monday, June 22, 2026
25.6 C
Malaysia
the sun malaysia ipaper logo 150x150

Pelaksanaan amalan Kod Tadbir Urus Korporat syarikat tersenarai meningkat: SC

KUALA LUMPUR: Tahap pelaksanaan amalan Kod Tadbir Urus Korporat Malaysia (MCCG) dalam kalangan syarikat-syarikat tersenarai secara keseluruhannya terbukti meningkat pada 2020, kata Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).

Dalam Laporan Pemantauan Tadbir Urus Korporat 2021 yang dikeluarkan hari ini, SC berkata daripada 36 amalan terbaik, sebanyak 24 telah mencecah tahap pelaksanaan sekurang-kurangnya 90 peratus iaitu kira-kira 90 peratus syarikat tersenarai telah mengamalkannya berbanding 23 amalan terbaik pada 2019.

Bagaimanapun, tahap pelaksanaan bagi Amalan Yang Dipertingkat (Step Up) yang diperkenalkan SC bagi menggalakkan semua syarikat meningkatkan usaha memperkukuh amalan tadbir urus korporat, mencatat tahap pelaksanaan terendah iaitu hanya 5.0 peratus oleh syarikat tersenarai berbanding amalan terbaik MCCG.

Amalan terbaik dengan pelaksanaan terendah termasuk amalan 7.3 Amalan Yang Dipertingkat (pendedahan perincian imbuhan pengurusan kanan berdasarkan nama) pada 5.0 peratus, amalan 4.3 (menetapkan had tempoh sembilan tahun untuk pengarah bebas) pada 11 peratus dan amalan 9.3 (lembaga pengarah mewujudkan jawatankuasa pengurusan risiko) pada 29 peratus.

Selain Amalan Yang Dipertingkat, dua amalan lain MCCG yang mencapai tahap pelaksanaan kurang 50 peratus oleh syarikat tersenarai adalah masing-masing Amalan 4.51 (kepelbagaian gender dalam lembaga pengarah) dan Amalan 7.22 (pendedahan melibatkan imbuhan lima jawatan pengurusan kanan teratas berdasarkan nama dan dalam lingkungan RM50,000).

SC turut menyatakan kecewaannya apabila sejumlah besar syarikat tersenarai masih tidak mematuhi Amalan 4.5 yang membabitkan saranan supaya lembaga pengarah memaklumkan dalam laporan tahunan mengenai dasar syarikat berkaitan kepelbagaian gender, sasaran serta langkah-langkah untuk mencapai sasaran tersebut.

Menurutnya, beberapa syarikat terbabit yang tidak melaksanakan amalan itu memberi alasan bahawa pelantikan pengarah berkenaan dibuat berdasarkan merit atau kecemerlangan dan tidak melakukan diskriminasi mengikut gender.

“SC ingin menegaskan bahawa lembaga pengarah diharapkan untuk memastikan bahawa pelantikan mana-mana individu tanpa mengira jantina ke dalam lembaga adalah berdasarkan merit dan mempunyai kemahiran serta pengalaman yang diperlukan bagi jawatan berkenaan.(Oleh itu) tindakan menetapkan dasar serta sasaran kepelbagaian jantina tidak sama sekali mengetepikan jangkaan tersebut.

“Malah, lembaga pengarah perlu menyedari bahawa gender merupakan aspek kritikal dalam kepelbagaian ahlinya selain faktor lain seperti kemahiran, pengalaman, umur dan kerakyatan,” katanya.

Pada masa sama, pihak pengawalselia pasaran modal itu berkata terdapat peningkatan dalam aspek kepelbagaian gender dalam lembaga pengarah.

Setakat 1 Okt, 2021, golongan wanita menduduki 17.7 peratus jawatan dalam lembaga pengarah dalam semua syarikat tersenarai (17.5 peratus pada 2020) manakala dalam 100 syarikat tersenarai angka itu mencecah 25.5 peratus (25.1 peratus pada 2020).

SC turut mengingatkan bahawa syarikat tersenarai wajib mendedahkan dasar berkaitan komposisi lembaga pengarah masing-masing yang meliputi aspek gabungan kemahiran, kebebasan dan kepelbagaian, termasuk gender bagi memenuhi syarat ditetapkan.

“Sebarang kegagalan untuk mengambil kira aspek kepelbagaian jantina serta menyatakan dasar berkaitannya, berkemungkinan melanggar syarat Keperluan Penyenaraian,” katanya.

Selain itu, SC menyifatkan sebagai perkembangan menggalakkan pada 2020 melibatkan tambahan 44 syarikat tersenarai yang bertindak mendedahkan imbuhan lima jawatan pengurusan kanan teratas dalam lingkungan RM50,000 (Amalan 7.2 Yang Dipertingkat) yang mana 34 daripadanya merupakan syarikat bermodal kecil (dengan permodalan pasaran di bawah RM1 bilion).

“Ini merupakan satu peningkatan berbanding hanya 10 syarikat yang bertindak sedemikian pada 2019,” katanya.

Bilangan syarikat tersenarai yang melaksanakan amalan itu turut meningkat kepada 146 daripada 122 pada 2019.

Tiga daripada 122 syarikat yang tersenarai pada 2019 itu telah dinyahsenarai, empat mengubah maklumat kewangan akhir tahun dan tidak mengeluarkan laporan tadbir urus korporat pada 2020 manakala enam syarikat yang melaksanakan pematuhan itu dalam tahun-tahun sebelumnya, memilih untuk tidak meneruskannya.

Menurut SC, alasan paling lazim di atas kegagalan mengekalkan pematuhan itu adalah untuk mengekalkan privasi anggota pengurusan kanan selain kebimbangan mengekalkan bakat serta perbuatan mengambil tenaga kerja di pasaran yang sengit selain faktor keselamatan kakitangan.

“Walaupun kami mengambil maklum dengan kebimbangan dibangkitkan oleh syarikat terbabit, lembaga pengarah juga sepatutnya berusaha meningkatkan ketelusan berkaitan imbuhan melibatkan pengurusan kanan.

“Ini bagi memudahkan penilaian oleh pihak berkepentingan sama ada bayaran yang diterima individu berkenaan adalah adil dan sepadan dengan pertimbangan tanggungjawabnya, prestasinya menepati sasaran ditetapkan serta prestasi kewangan dan bukan kewangan syarikat,” katanya.

Laporan Pemantauan Tadbir Urus Korporat 2021 itu memaparkan kemas kini pelaksanaan MCCG edisi 2017 dan kualiti pendedahan tadbir urus korporat.-Bernama

STAY AHEAD OF THE CURVE

Join our community for instant updates and exclusive content.

Join Telegram Channel

Related


spot_img

Latest News

Most Viewed

spot_img
WC26

World Cup 2026

Updates, Fixtures, Results & Standings