the sun malaysia ipaper logo 150x150
Friday, July 3, 2026
27.5 C
Kuala Lumpur
the sun malaysia ipaper logo 150x150

Petugas kesihatan HTAR kongsi kesan Covid-19, khuatir natijah lebih buruk menunggu

berkata apa yang benar-benar membezakan gelombang terbaharu itu dengan yang terdahulu ialah keadaan pesakit merosot dengan amat pantas, sekali gus menyebabkan petugas berdepan kesukaran untuk mendapatkan bekalan oksigen buat semua pesakit yang memerlukan.

Pada masa yang sama katanya, beliau dan rakan setugas juga terpaksa menangani ketakutan membawa pulang virus maut tersebut dan menjangkiti ahli keluarga serta rakan memandangkan pada waktu itu tidak semua memperoleh vaksin Covid-19.

“Walaupun saya tidak pernah mengendalikan rakan-rakan sejabatan, saya tahu ada antara mereka yang menjadi mangsa (Covid-19). Penyakit ini tidak kenal siapa. Kita ingat kita akan selamat, tapi tahu-tahu kita juga dijangkiti,” katanya.

Beberapa jururawat HTAR yang ditemui Bernama mendedahkan mereka berasa amat tertekan pada Julai dan awal Ogos lepas kerana seringkali berhadapan dengan masalah kekurangan petugas. Rakan sekerja terdedah kepada jangkitan dan terpaksa dikuarantin, sekali gus menambah beban tugas kepada yang lain yang adakala menjaga lebih 20 pesakit setiap seorang.

Seorang daripada mereka memberitahu beliau berasa sangat sedih apabila netizen mengkritik kononnya tidak menerima jagaan yang sewajarnya daripada jururawat.

“Mereka tidak faham cara kami bekerja,” keluhnya.

Dr Nur Ayutimasery berkata walaupun jabatannya mengendalikan mayat setiap hari, ada kes kematian akibat Covid-19 yang benar-benar menyentuh perasaan mereka seperti satu kes pada Julai, melibatkan sepasang suami isteri.

“Kedua-duanya meninggal dunia akibat Covid-19. Satu-satunya individu yang dapat kami hubungi (pada peringkat awal) ialah anak lelaki mereka yang berusia 11 tahun,” katanya dengan nada sebak. Menurutnya, mereka kemudian dapat menghubungi bapa saudara kanak-kanak itu yang datang menuntut jenazah pasangan suami isteri tersebut.

Ditanya mengenai kaunseling, ramai petugas kesihatan terbabit menyatakan mereka tidak ada masa untuk mendapatkan khidmat itu.

Pihak pengurusan HTAR yang memuji kekuatan mental dan fizikal barisan petugasnya, berkata mereka yang berkhidmat dalam bidang penjagaan kesihatan selalunya tabah. Namun mereka juga mengakui keunikan cabaran yang dibawa oleh Covid-19.

“Petugas penjagaan kesihatan sudah biasa menghadapi bencana. Cuma bencana yang berlaku sekarang ini masih belum berakhir,” kata Pengarah HTAR Dr Zulkarnain Mohd Rawi.

Beliau berkata hospital itu berusaha mengurangkan stres dan kelesuan dalam kalangan tenaga kerjanya dengan menetapkan setiap petugas berehat sehari selepas tiga hari bekerja, selain menggalakkan mereka mendapatkan terapi daripada ahli psikoterapi hospital.

Bagaimanapun sesetengah petugas mungkin keberatan untuk berbuat demikian kerana khuatir akan menerima padah sekiranya mendapatkan bantuan dalaman hospital.

Dr Hariyati berkata setakat ini, lebih 160 petugas barisan hadapan HTAR mendapatkan perkhidmatan psikososial daripada MERCY Malaysia, dan menambah ramai yang bimbang tentang aspek kerahsiaan.

Beliau juga berkata Covid-19 menekankan kepentingan kesihatan mental, justeru tabu atau stigma tidak seharusnya wujud terhadap sesiapa sahaja termasuk petugas barisan hadapan yang mendapatkan sokongan emosi.

Tambah beliau, semua tempat kerja harus menyediakan ruang yang selamat untuk pekerja mereka mendapatkan bantuan selain memberikan jaminan tidak ada akibat buruk yang menanti mereka.

“Kesihatan mental tidak harus dikesampingkan. Perkara ini bukan sesuatu yang hanya kita bincang apabila ada kes bunuh diri,” ujarnya.

“Kesimpulannya, adalah amat penting untuk kita meyakinkan mereka bahawa okey untuk mereka mendapatkan sokongan dan okey bagi mereka berjumpa ahli psikologi.”

Kesedihan, stres dan keresahan melampau yang berpotensi menjadi kecelaruan mental seperti kecelaruan stres pascatrauma (PTSD) boleh dicegah menerusi pelbagai cara.

Perunding psikologi yang juga penasihat MERCY Malaysia Dr Haryati Abdul Majid berkata antara tanda-tanda utama yang perlu diperhatikan ialah perubahan sikap dan corak hidup yang berlaku dalam jangka panjang.

“Perhatikan tanda-tanda seperti perubahan selera – sesuatu yang sangat biasa. Kadang-kadang kita dengar ‘saya tak nak makan, tak ada selera’. Kalau sehari tidak mengapa, namun jika mereka menunjukkan penurunan selera makan yang ketara, mengalami susut berat badan selama lebih dua bulan, ini bermakna ada sesuatu yang lebih serius,” jelasnya.

Begitu juga jika sebaliknya, yang mana peningkatan selera makan secara berterusan turut menandakan kewujudan masalah emosi dan kesihatan mental yang serius.

Dr Hariyati berkata satu lagi tanda ialah gangguan corak tidur seperti mengalami mimpi ngeri serta sukar tidur atau tidur yang berpanjangan hingga berminggu-minggu dan berbulan.

Menurutnya, sesetengah individu juga mungkin menjauhkan diri daripada orang lain, termasuk kawan dan ahli keluarga.

Mereka mungkin perlukan ruang untuk bersendirian buat seketika, namun jika berterusan hingga dua bulan atau lebih, ini juga menandakan wujud masalah, katanya, menambah pada waktu tersebut, orang yang tersayang perlu mendekati dan menasihati mereka agar mendapatkan kaunseling. -Bernama

STAY AHEAD OF THE CURVE

Join our community for instant updates and exclusive content.

Join Telegram Channel

Related


spot_img

Latest News

Bora Pharmaceuticals Completes Acquisition of MacroGenics’ Rockville Manufacturing Operations

TAIPEI, TAIWAN - Media OutReach Newswire - 2 July 2026 - Bora Pharmaceuticals Co., Ltd. ("Bora" or "Bora Group"; TWSE: 6472; OTCQX: BORAY) today announced the completion of its acquisition of the GMP manufacturing operations of MacroGenics, Inc. (NASDAQ: MGNX) including its biologics drug substance facility in Rockville, Maryland and an associated warehousing center in Frederick, Maryland, for total consideration of US $122.5 million through its wholly owned subsidiary Bora Biologics USA, LLC.. Upon closing, Bora signed a long-term CDMO Service Agreement with MacroGenics.

Most Viewed

spot_img
WC26

World Cup 2026

Updates, Fixtures, Results & Standings