Ringgit muncul sebagai mata wang berprestasi terbaik di Asia pada RM4.16 berbanding dolar AS susulan penarafan kredit positif agensi antarabangsa.
KUALA LUMPUR: Ringgit kini didagangkan pada RM4.16 berbanding dolar Amerika Syarikat sekaligus muncul sebagai mata wang berprestasi terbaik di Asia.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata prestasi itu dicapai walaupun kerajaan sebelum ini dikecam apabila mata wang domestik mengalami penyusutan.
“Dulu kita diserang bertubi-tubi (kerana) ringgit jatuh (tetapi) sekarang bila ringgit mengukuh, tak sebut sepatah pun (pujian), inilah masalahnya,” katanya ketika sesi Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat.
Beliau menegaskan penilaian itu bukan ditentukan oleh kerajaan tetapi susulan penarafan kredit positif oleh agensi antarabangsa.
S&P Global Ratings dan Moody’s Ratings masing-masing mengekalkan penarafan kredit berdaulat negara pada A- dan A3 yang membawa makna prospek stabil dan kukuh.
Pada 6 petang semalam, ringgit meningkat 0.4% kepada 4.1555/1635 berbanding dolar AS daripada 4.1735/1775 ketika ditutup pada Jumaat minggu lepas.
Angka itu menjadi paras tertinggi ringgit dalam tempoh 13 bulan selepas mencatatkan 4.1625 pada 2 Oktober 2024.
Setakat 8.01 pagi hari ini, ringgit meningkat kepada 4.1540/1660 berbanding dolar AS daripada 4.1555/1635 ketika ditutup semalam.
Anwar berkata demikian bagi menjawab soalan mengenai cara kerajaan mengukur keberkesanan pelaksanaan Dasar Ekonomi MADANI selepas tempoh 18 hingga 24 bulan. – Bernama






