SEMENYIH: Polis Diraja Malaysia mematahkan cubaan mengedar rokok dan arak tidak bercukai di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur dalam serbuan di Shah Alam dan Klang semalam, dengan nilai rampasan dan cukai berjumlah lebih RM20 juta.
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman Datuk Zainal Abidin Kasim berkata nilai rampasan berkenaan adalah yang terbesar bagi Briged Tengah Pasukan Gerakan Am (PGA) tahun ini.
Beliau berkata serbuan berkenaan adalah hasil risikan selama dua bulan oleh Batalion 4 PGA Semenyih.
âDalam serbuan pertama di sebatang jalan di Seksyen 33, Shah Alam pada 4.13 petang semalam, pihak kami telah menahan dua lori kontena dan merampas 87,150 karton rokok. Turut ditahan dua pemandu lori warga tempatan berusia 29 dan 35 tahun.
âNilai rampasan rokok adalah RM7 juta dengan nilai cukai sebanyak RM12 juta,â katanya dalam sidang media di Kem Batalion 4 PGA di sini hari ini.
Zainal Abidin berkata melalui soal siasat terhadap dua pemandu lori berkenaan, polis telah dibawa ke sebuah gudang di Kapar, Klang pada kira-kira 5.18 petang hari yang sama dan menemui satu kontena berisi 1,295 kotak arak tidak bercukai serta menahan seorang lelaki tempatan berusia 34 tahun yang juga pemandu lori.
âArak yang dirampas bernilai RM1.4 juta dengan nilai cukai sebanyak RM1.9 juta. Keseluruhan nilai rampasan bagi kedua-dua serbuan ini termasuk dua buah lori, tiga buah kontena dan tiga buah telefon bimbit adalah lebih RM20 juta,â katanya.
Beliau berkata siasatan awal mendapati ketiga-tiga lelaki warga tempatan yang ditahan merupakan pemandu lori yang mengambil upah menghantar barangan dengan upah antara RM100 bagi sekitar Lembah Klang dan RM200 hingga RM300 bagi luar Lembah Klang.
âMereka juga mendakwa tidak kenal siapa yang mengupah mereka untuk menghantar barangan,â katanya.
Zainal Abidin berkata pihaknya sedang mengesan dalang sindiket berkenaan dan percaya terdapat penglibatan orang dalam yang berperanan melepaskan kontena-kontena itu dari pelabuhan.
âSemua yang ditahan dihantar ke Ibu Pejabat Polis (IPD) Shah Alam serta IPD Klang Utara dan kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967,â katanya. –Bernama









