Inkues kematian Zara Qairina tamatkan sesi saksi kanak-kanak, 35 saksi beri keterangan tertutup, guru dan pengetua seterusnya.
KOTA KINABALU: Mahkamah Koroner hari ini menamatkan sesi keterangan tertutup melibatkan 35 saksi kanak-kanak dalam prosiding inkues kematian pelajar Zara Qairina Mahathir.
Saksi kanak-kanak tersebut mula memberi keterangan pada 22 September lalu di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan.
Prosedur ini mengikut Akta Keterangan Saksi Kanak-Kanak 2007 (Pindaan 2024) yang melindungi identiti semua saksi di bawah umur.
Media tidak dibenarkan berada dalam mahkamah sepanjang sesi tertutup bagi memastikan privasi saksi kanak-kanak terpelihara.
Timbalan Pendakwa Raya Mohd Fairuz Johari mengesahkan saksi kanak-kanak terakhir telah selesai memberi keterangan pada hari ke-36 prosiding inkues.
Beliau berkata pendengaran akan bersambung Isnin depan dengan sembilan guru dan pengetua sekolah dijadualkan memberi keterangan.
Mereka merupakan staf Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datu Mustapha di Papar.
Zara Qairina, 13, disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth pada 17 Julai lepas.
Pelajar Tingkatan Satu itu ditemukan dalam keadaan tidak sedar di dalam longkang berhampiran asrama sekolahnya pada pukul 4 pagi sehari sebelumnya.
Jabatan Peguam Negara mengumumkan inkues pada 13 Ogos selepas meneliti laporan siasatan polis.
Sebelum itu pada 8 Ogos, AGC mengarahkan kubur Zara Qairina digali semula untuk bedah siasat dijalankan. – Bernama






