Thursday, November 13, 2025
22.8 C
Malaysia
the sun malaysia ipaper logo 150x150

37 pegawai PDRM tamat kursus terjun dan ramp air di Taiping

37 pegawai dan anggota PDRM berjaya tamat kursus taktikal payung terjun dan ramp air anjuran Cawangan Latihan Para 69 Komando di Taiping

TAIPING: Seramai 37 pegawai kanan dan anggota pelbagai pangkat Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menamatkan dua siri kursus taktikal payung terjun dan ramp air.

Kursus itu dianjurkan oleh Cawangan Latihan Para 69 Komando di Lapangan Terbang Tekah hari ini.

Kursus Taktikal Payung Terjun Pegawai Kanan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Siri 2/2025 disertai 17 pegawai kanan dan enam pegawai rendah polis.

Latihan itu berlangsung dari 15 Oktober hingga 13 November.

Kursus Ramp Air Pegawai Kanan Polis Jabatan KDNKA Siri 2/2025 pula melibatkan 14 pegawai kanan berpangkat Inspektor hingga Penolong Pesuruhjaya Polis.

Ketua Penolong Pengarah KDNKA (Kepolisan Am) SAC Anuar Rosdi menyempurnakan majlis penutupan dan menyampaikan ucapan tahniah.

Beliau berkata kejayaan peserta membuktikan keupayaan mereka menempuhi ujian lasak yang menuntut ketahanan fizikal dan mental luar biasa.

“Saya berharap Cawangan Latihan Para 69 Komando akan terus berkembang dan menjadi pusat latihan payung terjun unggul pada peringkat kebangsaan dan antarabangsa,” katanya.

Anuar menekankan kepentingan aspek keselamatan dan kesihatan dalam setiap latihan yang dijalankan.

Kemalangan dapat dielakkan dengan mematuhi prosedur operasi standard latihan dan peraturan keselamatan yang telah ditetapkan.

“Slogan ‘Lalai Sesaat Derita Seumur Hidup’ amat tepat bagi kemahiran seperti payung terjun,” ujarnya.

Beliau merakamkan penghargaan kepada Pasukan Gerakan Udara atas kerjasama berterusan dalam menjayakan operasi dan latihan penghantaran udara.

Kemuncak majlis penutupan ialah pemakaian insignia sayap penerjunan kehormat kepada 23 pegawai dan anggota polis.

Insignia itu merupakan pengiktirafan terhadap komitmen dan sumbangan mereka dalam memperkukuh keupayaan taktikal pasukan. – Bernama

Related

spot_img

Latest

Most Viewed

spot_img

Popular Categories