Seorang pekerja cedera melecur 30 peratus dalam kebakaran yang memusnahkan bangunan lapan bilik di SK Padang Melangit, Padang Besar
PADANG BESAR: Sebuah bangunan lapan bilik di Sekolah Kebangsaan Padang Melangit di sini musnah kira-kira 90 peratus dalam kebakaran pagi tadi.
Seorang pekerja kebersihan swasta cedera melecur 30 peratus dalam kejadian itu.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Perlis menerima panggilan kecemasan pada 11.05 pagi dan tiba di lokasi 13 minit kemudian.
Penolong Pengarah Operasi JBPM Perlis PgKB II Mohamad Azhar Yussof berkata api dipercayai bermula dari bilik stor sebelum merebak ke bilik lain.
“Kebakaran melibatkan bangunan sekolah yang mempunyai lapan bilik termasuk stor, bilik seni, bilik reka bentuk dan teknologi serta bilik kesihatan,” katanya.
Operasi pemadaman melibatkan anggota dari Balai Bomba Padang Besar, Kangar dan Arau serta Pasukan Bomba Sukarela.
Kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya kira-kira sejam kemudian.
“Operasi sedikit sukar pada peringkat awal kerana sumber air terhad dan pili bomba berhampiran tidak berfungsi,” jelas Mohamad Azhar.
Pasukan terpaksa menggunakan air dari kolam berdekatan sebelum bantuan tangki tiba.
Punca kejadian dan kerugian masih dalam siasatan.
Pekerja kebersihan berusia 29 tahun itu melecur pada bahagian belakang paha.
Mangsa dalam keadaan stabil dan telah dihantar ke Hospital Tuanku Fauziah di Kangar untuk rawatan lanjut.
Pengarah Pendidikan Perlis Rose Aza Che Arifin berkata kesemua 192 murid dan 18 guru sekolah tersebut selamat.
Mereka telah dipindahkan ke dewan sebaik sahaja kebakaran dikesan.
“Bangunan yang terbakar ini sebenarnya dirancang untuk dinaik taraf sebagai blok Program Pendidikan Khas Integrasi pada tahun depan,” katanya.
Akibat kejadian ini, pihaknya akan menilai semula keperluan untuk menyediakan kemudahan yang lebih kondusif.
Sekolah akan beroperasi seperti biasa esok memandangkan bilik darjah tidak terjejas dengan kebakaran.
Rose Aza turut merakamkan penghargaan kepada pasukan bomba yang bertindak pantas memadamkan kebakaran. – Bernama






