SEREMBAN: Polis sedang mengesan tiga lelaki bagi membantu siasatan kes penipuan pelaburan membabitkan jumlah sebanyak RM315,920, tiga tahun lepas.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Negeri Sembilan Supt Aibee Abd Ghani berkata ketiga-tiga lelaki itu Chang Tack Hwa, 53, Soon Benh Gee, 39, dan Lee Chong Liang, 38, dicari susulan laporan yang dibuat seorang lelaki berusia 56 tahun pada 17 Sept lepas, yang mendakwa telah ditipu.
Beliau berkata Chang beralamat terakhir di Jalan Dua, Eng Ann Estate, Klang, Selangor, manakala Soon di Rumah Pangsa Bandar Hilir IV, Melaka dan Lee di Jalan DM 1/11, Taman Desa Mas serta Jalan Sekolah, Kampung Baru Kundang, kedua-dua di Rawang, Selangor.
âSebarang maklumat, sila hubungi pegawai penyiasat kes iaitu Sarjan Mohd Ismail Naim di talian 019-7348006,â katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Aibee berkata dalam kes berkenaan, seorang lelaki mendakwa ditipu selepas diperkenalkan dengan satu skim pelaburan pada Mac 2017 yang menjanjikan keuntungan sebanyak 10 hingga 13 peratus setiap bulan mulai Oktober tahun yang sama.
âPengadu telah membuat bayaran berjumlah RM315,920 menggunakan cek kepada sebuah syarikat dan sehingga kini dia masih tidak menerima apa-apa bayaran yang dijanjikan yang sepatutnya diterima pada Oktober 2017.
âPada 2018, pengadu telah mendapat tahu bahawa nama syarikat berkenaan telah ditukar kepada nama yang lain dan hasil pertanyaan pengadu terhadap pelaburan berkenaan, dia telah diberikan pelbagai alasan dan dijanjikan untuk dibayar semula wang berkenaan,â katanya dan menambah kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. â Bernama









