Seorang guru silat mengaku tidak bersalah melakukan amang seksual dan persetubuhan luar tabii terhadap dua anak murid remaja perempuan di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh.
MELAKA: Seorang guru silat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh hari ini atas tiga pertuduhan melakukan amang seksual dan persetubuhan luar tabii terhadap dua remaja perempuan yang juga anak muridnya.
Yusoh Omar, 44, didakwa melakukan perbuatan itu terhadap seorang remaja perempuan berusia 15 tahun di sebuah rumah di Taman Telok Mas sekitar 2 petang pada 13 September lepas.
Bagi pertuduhan ketiga, tertuduh turut didakwa melakukan amang seksual terhadap seorang lagi remaja perempuan berusia 14 tahun di lokasi sama pada kira-kira 8 pagi, 8 Oktober lepas.
BACA: Lebih 3,000 kes jenayah seksual bawah 18 tahun direkod sejak 2023
Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan Seksyen 377C Kanun Keseksaan.
Kedua-dua akta tersebut memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun serta sebatan.
Timbalan Pendakwa Raya mencadangkan jaminan RM20,000 bagi setiap dua pertuduhan pertama dan RM30,000 bagi pertuduhan ketiga.
Pihak pendakwaan turut mencadangkan syarat tambahan termasuk larangan mendekati atau menganggu mangsa dan saksi.
Peguam Nigel Tai yang mewakili tertuduh merayu jaminan rendah atas alasan anak guamnya tiada pendapatan tetap.
Beliau menyatakan tertuduh perlu menjaga ibunya yang uzur serta mengidap penyakit jantung, darah tinggi dan kencing manis.
Mahkamah kemudian membenarkan jaminan keseluruhan RM24,000 dan membenarkan semua syarat tambahan yang dipohon pendakwaan.
Mahkamah menetapkan 15 Disember dan 23 Disember ini sebagai tarikh serahan dokumen. – Bernama






