Program Pusat Sehenti Kesejahteraan Sosial di Bandar Tun Razak gabung 15 agensi bantu rakyat capai bantuan dan maklumat dengan lebih mudah
KUALA LUMPUR: Program Pusat Sehenti Kesejahteraan Sosial yang menggabungkan pelbagai agensi kerajaan di bawah satu platform mendapat sambutan hangat penduduk Bandar Tun Razak.
Isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata program itu memudahkan akses rakyat kepada bantuan, maklumat dan peluang peningkatan sosioekonomi.
“Melalui sinergi ini, kita dapat menyediakan bantuan dan perkhidmatan yang lebih berkesan kepada golongan yang memerlukan,” katanya ketika merasmikan program bersama Hari Bersama Komuniti Pusat Sebaran Maklumat Nasional.
Sebanyak 15 agensi awam dan swasta terlibat termasuk Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Unit Transformasi Masyarakat India.
Orang ramai turut berpeluang mendapatkan barangan keperluan dengan harga murah menerusi Jualan Rahmah yang dianjurkan serentak.
Wan Azizah yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak memaklumkan MCMC melalui NADI menyokong pemerkasaan komuniti melalui pelbagai program.
“Lebih 1.8 juta ahli NADI telah berdaftar dan hampir 937,000 penyertaan direkodkan dalam pelbagai aktiviti seluruh negara,” jelasnya.
Beliau menekankan NADI bukan sekadar medium capaian Internet tetapi pusat pembelajaran, jaringan sosial dan pemerkasaan komuniti.
NADI Pulau Banggi, Sabah diiktiraf peringkat antarabangsa setelah memenangi anugerah Hadiah Sidang Kemuncak Dunia mengenai Masyarakat Bermaklumat 2025.
Program itu turut menyaksikan penyerahan sijil Amalan Pertanian Baik Malaysia kepada dua kebun komuniti di kawasan tersebut.
Kedua-dua kebun komuniti tersebut juga merupakan penerima insentif Sejati MADANI. – Bernama






