Presiden Warisan Mohd Shafie Apdal berdepan empat penjuru di DUN Senallang, manakala DUN Sulabayan dan Bugaya saksikan pertandingan sengit.
SEMPORNA: Presiden Parti Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berdepan saingan empat penjuru untuk kerusi Dewan Undangan Negeri Senallang dalam Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17.
Penyandang kerusi itu dicabar Datuk Marunda KK Ampong daripada Gabungan Rakyat Sabah, Mohd Lipai @ Samsu Sundalu mewakili Parti Impian Sabah dan Abdul Majid Angkulan daripada Parti Bersatu Sasa Malaysia.
Di DUN Sulabayan, Naib Presiden Warisan Datuk Dr Jaujan Sambakong dicabar tujuh calon termasuk Bidin Jawa daripada Parti Solidariti Tanah Airku dan Abd Malik Abd Bool dari Perikatan Nasional.
BACA: Calon bebas dominasi PRN Sabah dengan 74 pencalonan
Pencabar lain ialah Hasaman Sagaran dari Parti Kerjasama Anak Negeri, Mohd Julpikar Ab Mijan dari Pakatan Harapan dan Mat Roya @ Abdul Mutalib dari Parti Impian Sabah.
Datuk Adillah Hamid bertanding sebagai calon Bebas manakala Sumini Yasintus menjadi wakil tunggal calon wanita mewakili Parti Perpaduan Sabah.
Untuk DUN Bugaya pula menyaksikan persaingan sembilan penjuru yang terdiri daripada Jamil Hamzah dari Warisan, Noorudin Abd Hussin dari GRS dan Abdul Manan Indanan dari Barisan Nasional.
Calon lain termasuk Maulana Unding dari Parti Aspirasi Rakyat Sarawak, Jamil Abdul Gapar dari PN dan Mohd Taha Mohd Dara dari STAR.
Suffian Ahmad mewakili Parti Rumpun Sabah, Roslan Ali dari Perjuangan Rakyat dan Arman Marasal dari Parti Impian Sabah turut bertanding.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari pengundian bagi PRN Sabah ke-17 pada 29 November manakala tarikh pengundian awal pada 25 November.
Pengumuman rasmi calon-calon dibuat oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya Mas Syazwan Masood di Dewan Arena Masyarakat Semporna hari ini. – Bernama






