Sunday, November 16, 2025
28.3 C
Malaysia
the sun malaysia ipaper logo 150x150

Malaysia perlu jalin hubungan baik dengan semua kuasa besar dunia – PM

PM Anwar tekankan kepentingan Malaysia kekal hubungan baik dengan AS, China dan semua kuasa besar demi keselamatan dan kepentingan rakyat

KENINGAU: Malaysia perlu mengekalkan hubungan baik dengan semua kuasa besar dunia termasuk Amerika Syarikat dan China bagi memastikan keselamatan negara serta kepentingan rakyat terus terpelihara.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata meskipun Malaysia bukan negara besar atau kaya, pemimpin utama dunia tetap menganggap negara ini sebagai rakan penting.

Beliau mendedahkan bahawa Presiden AS Donald Trump menghubunginya dua hari lepas, satu penghormatan yang mencerminkan kedudukan Malaysia dalam hubungan antarabangsa.

“Saya bangga bukan kerana diri saya, tetapi kerana Malaysia dilihat sebagai negara penting oleh pemimpin besar dunia,” katanya ketika berucap pada Program Ramah Mesra PM Sayang Sabah Bersama Pimpunan Masyarakat DUN Tulid di Padang Kampung Menawo Ulu.

Anwar menegaskan Malaysia menjalin hubungan baik dengan AS dan China semata-mata untuk kepentingan rakyat dan keselamatan mereka.

“Kalau negara-negara besar bergaduh dan kita terlibat, kita juga akan susah,” jelasnya.

Perdana Menteri turut berkongsi pengalaman pertemuannya dengan Presiden China Xi Jinping semasa menghadiri mesyuarat antarabangsa di Korea Selatan baru-baru ini.

Beliau berkata Xi Jinping memuji keupayaan Malaysia mengurus hubungan baik dengan Washington.

“Saya tanya, Presiden, bagaimana pertemuan dengan Presiden Trump? Beliau kata, kerana kita menjaga hubungan dengan Trump, beliau gembira, suasana jadi mesra dan rundingan lebih lancar,” kongsi Anwar.

Anwar turut menempelak tindakan pembangkang khususnya Perikatan Nasional yang memperlekehkan kunjungan Trump ke Malaysia semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-47.

“Tunjuk hubungan baik, ada yang marah, PAS, PN persoalkan, ‘Apa ini Anwar? Amerika tidak bagus. Kau menari dengan mereka’,” katanya.

Beliau menekankan yang penting ialah Malaysia berbincang dengan semua negara untuk menjaga hubungan baik.

“Negara ini aman kerana kerjasama pasukan keselamatan dan kestabilan politik kita,” tegas Perdana Menteri. – Bernama

Related

spot_img

Latest

Most Viewed

spot_img

Popular Categories